Kompetensi DUN gubal undang-undang Islam sedang diteliti - Utusan Malaysia

Kompetensi DUN gubal undang-undang Islam sedang diteliti

Undang-Undang Islam
SULTAN Sharafuddin Idris Shah mempengerusikan Mesyuarat MKI Kali Ke-71 di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menjelaskan satu jawatankuasa khas ditubuhkan sejak Ogos tahun lalu bagi memperhalusi isu berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi DUN itu turut melibatkan penelitian terhadap isu keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini.

Baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada hari ini bertitah, penubuhan tersebut diarahkan ketika Mesyuarat MKI Kali Ke-70 pada 28 Ogos lalu.

“Termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci.

“Selain itu jawatankuasa itu akan mencadang dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan mengkaji kaedah memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah.

“Jawatankuasa khas itu diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

“Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas ini dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas ini melaksanakan tugas mereka,” titahnya ketika mempengerusikan Mesyuarat MKI Kali Ke-71, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukannya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI turut mengingatkan jawatankuasa tersebut memikul tanggungjawab berat dalam meneliti perkara-perkara dibangkitkan terutama melibatkan isu teknikal dalam undang-undang Islam.

“Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh jawatankuasa khas itu. Namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli jawatankuasa itu serta dengan izin Allah satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN