KOTA BHARU: Pembayaran elaun imam untuk solat sunat tarawih bergantung sepenuhnya kepada kemampuan pihak masjid dan tidak melibatkan peruntukan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Yang Dipertuanya Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, MAIK sama sekali tidak akan campur tangan berkait perkara tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada
kebijaksanaan jawatankuasa masjid masing-masing.
“Setiap masjid ada jawatankuasa sendiri dan merekalah yang akan memutuskan perkara berkaitan insentif solat tarawih termasuk bayaran elaun imam. MAIK tidak campur tangan dalam soal ini.
“Namun kita lebih menggalakkan masjid-masjid mengambil imam-imam tempatan dalam kalangan pelajar tahfiz supaya dapat membantu menambah pendapatan mereka pada bulan Ramadan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perutusan Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK di sini hari ini.
Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan memberitahu, Maik juga mempunyai seramai 92 pelajar tahfiz di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Panji di sini yang boleh dijemput oleh masjid di negeri ini sebagai imam solat tarawih.
Katanya, Maik memberi saranan agar pembayaran elaun imam solat tarawih dibuat mengikut kemampuan kewangan masjid agar ia tidak menjadi beban kepada mereka pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Maik tiada halangan malah menggalakkan masjid-masjid di seluruh negeri ini menggerakkan inisiatif Solat Subuh Seperti Solat Jumaat.
“Penganjuran program itu juga perlu diukur dengan kemampuan kewangan masjid masing-masing termasuk dalam aspek penyediaan makanan, jamuan atau keraian jemaah.
“Terpulang kepada masjid masing-masing. Maik menggalakkannya malah saya sendiri sering mengikuti program itu di Masjid Muhammadi di sini dan masjid-masjid lain sekiranya berada di Kelantan.
“Program sebegini juga tidak boleh dijalankan secara bermusim dan tidak hanya dilaksanakan pada bulan Ramadan. Ia boleh dilaksanakan secara berterusan malah kita sebenarnya sedang cuba menerapkan budaya solat berjemaah di masjid untuk semua waktu terutamanya dalam kalangan anak muda,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, elaun RM6,000 kepada imam tarawih sepanjang Ramadan yang ditawarkan oleh Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai di sini bertujuan ‘mengangkat’ imej individu yang menjalankan tugas berkenaan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Imam Tuanya, Ahmad Maher Safiain berkata, bayaran tersebut dilihat setimpal kerana tugas berkenaan bukan semudah yang disangka.
Menurutnya, untuk menjadi imam, seseorang itu perlu menjaga kualiti bacaan, sebutan dan sifat huruf supaya tidak melanggar hukum tajwid. – UTUSAN










