PETALING JAYA: Keluhan penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) LRT Ampang Line, Kelana Jaya Line akan berakhir apabila operasi tren dari Ampang, Sri Petaling dan Putra Heights menuju ke Stesen Masjid Jamek dibuka semula hari ini hingga 16 Februari ini.
Sebelum ini, penumpang dari laluan tersebut perlu turun di Stesen Hang Tuah untuk mendapatkan tren perantara ke Stesen Masjid Jamek.
Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak 27 Januari 2023 akibat daripada kejadian kerosakan struktur di Stesen LRT Bandaraya sehingga menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi LRT, Rapid Rail Sdn. Bhd., Nor Azmi Mohd Yusof berkata, pembukaan semula laluan itu masih dalam peringkat percubaan akhir dan penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya.
“Kekerapan tren pada waktu puncak akan dipertingkatkan dengan masa menunggu 3.5 minit bagi daerah pusat perniagaan dan tujuh minit luar daerah pusat perniagaan.
“Pelaksanaan operasi percubaan akhir ini dijalankan sebagai mematuhi piawaian operasi dalam langkah untuk memastikan keselamatan pengguna dan kebolehpercayaan sistem rel,” katanya pada sesi taklimat media mengenai operasi percubaan selepas kerja-kerja baik pulih struktur jejambat dan landasan di LRT Hang Tuah di sini semalam.
Mengulas lanjut, Nor Azmi turut memaklumkan, penambahan tren LRT juga akan dibuat bermula esok daripada 24 sebelum ini kepada 31 tren.
Sementara itu, Ketua Projek Prasarana Malaysia Berhad, Muhammad Hafizi Hashim berkata, jumlah tren telah ditambah kepada para penumpang untuk meningkatkan kekerapan tren.
Menurut beliau, kekerapan tren pada waktu puncak akan dipertingkatkan dengan masa menunggu 3.5 minit bagi Daerah Pusat Perniagaan dan 7 minit luar Daerah Pusat Perniagaan.
“Sebelum ini, hanya terdapat 24 tren, tetapi mulai esok kami menambah kepada 31 tren sekali gus meningkatkan kekerapan tren.
“Bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), laluan ini akan dibuka sepenuhnya pada penghujung Februari 2024,” katanya.
Pihak Rapid Rail berharap dengan pembukaan semula laluan ini ia dapat mengembalikan keselesaan pengguna dan jumlah penumpang akan dapat ditingkatkan kerana penumpang tidak perlu lagi menukar tren atau menggunakan khidmat bas perantara.- UTUSAN











