IPOH: Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas rumah pekerja yang didiami dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di sebuah tanah perkuburan di Jalan Tanjung Rambutan, di sini petang tadi.
Kejadian ketika hujan lebat dan angin kencang itu turut menyebabkan seorang lelaki parah manakala empat yang lain cedera ringan.
Kesemua mereka merupakan pekerja warga Indonesia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Shaharuddin Abd. Ghani berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat berkaitan sebuah rumah kayu dihempap pokok tumbang pada pukul 5.45 petang.
Katanya, setibanya di lokasi, lima pekerja dengan seorang daripada mereka cedera parah telah pun dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital.
“Terdapat seorang mangsa yang masih terperangkap di bawah dahan pokok yang tumbang dan lelaki itu disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap segera dijalankan dengan anggota bertindak memotong pokok tumbang menggunakan peralatan termasuk gergaji berantai, power unit dan air lifting bag,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemantauan dijalankan di lokasi tersebut bagi memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap dalam runtuhan rumah berkenaan.
“Operasi berakhir pukul 9.40 malam itu turut dibantu anggota BBP Sungai Siput, pihak polis dan petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. – UTUSAN










