BUKIT MERTAJAM : Jumlah kutipan zakat di Pulau Pinang pada tahun lepas menunjukkan peningkatan sehingga 6.37 peratus iaitu sebanyak RM159.7 juta berbanding RM150.14 juta pada 2022.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah itu merangkumi kutipan bagi zakat harta dan zakat fitrah sepanjang tahun berkenaan.
“Prestasi kutipan zakat harta pada 2023 mencatatkan jumlah sebanyak RM152.86 juta berbanding 2022 yang merekodkan jumlah sebanyak RM143.5 juta iaitu peningkatan sebanyak 6.48 peratus.
”Sementara itu, prestasi kutipan zakat fitrah tahun lalu pula adalah sebanyak RM6.84 juta, berbanding kutipan zakat fitrah pada 2022 iaitu sebanyak RM6.58 juta atau peningkatan sebanyak 4.01 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, walaupun jumlah kutipan zakat pada tahun lalu tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM161 juta, namun, sasaran kutipan zakat oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjaya dicapai lebih 95 peratus.
“Antara faktor yang menjadi punca mengapa kutipan zakat pada tahun 2023 tidak mencapai sasaran adalah berpunca daripada jumlah pembayar zakat KWSP yang menyusut,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, analisis prestasi kutipan ZPP bagi tahun 2023 ialah jumlah kutipan zakat harta khususnya yang melibatkan zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat wang simpanan yang mewakili 93.4 peratus daripada jumlah kutipan zakat harta.
“Jumlah kutipan zakat harta pada Disember tahun lalu mencatatkan sebanyak 32.8 peratus daripada jumlah kutipan zakat harta tahunan manakala jumlah pembayar zakat KWSP pula menyusut secara mendadak iaitu seramai 4,990 orang berbanding tahun 2022.
“Hal ini disebabkan oleh momentum pembayaran zakat KWSP yang telah berkurangan secara signifikan kerana tiada lagi pengeluaran bersasar yang disediakan oleh KWSP seperti pengeluaran i-Sinar, i-Citra dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, pada tahun lalu juga, ZPP dan MAINPP telah berjaya mengagihkan sebanyak RM173.3 juta berbanding pengagihan sebanyak RM155.17 juta pada tahun 2022 dengan kadar peratusan peningkatan jumlah agihan yang direkodkan adalah sebanyak 11.74 peratus.
“Bilangan penerima zakat (mustahik) bagi 2023 pula adalah seramai 43,367 individu atau institusi berbanding pada tahun 2022 iaitu seramai 40,240 individu atau institusi dengan peningkatan seramai 3,127 (individu atau institusi) atau sebanyak 7.77 peratus,” katanya.-UTUSAN










