KSM fokus manfaatkan dana RM6.8b untuk perkasa TVET

KSM fokus manfaatkan dana RM6.8b untuk perkasa TVET

STEVEN SIM (tengah) beramah mesra bersama kanak-kanak yang menyertai program mewarna sempena Karnival Latih Madani (KLM) dan Program Kesuma Madani di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memfokuskan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion yang diterima menerusi Belanjawan 2024 bagi memperkasakan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, dalam hal ini, pihaknya antara kementerian utama yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai program latihan bagi meningkatkan golongan pekerja berkemahiran tinggi.

“Kita mahu melatih lebih ramai individu supaya dapat memberi kemahiran lebih baik kepada pekerja sekali gus meningkatkan produktiviti mereka.

“Menerusi pensijilan dan kemahiran yang dimiliki, golongan pekerja akan berpeluang untuk mendapat upah dan gaji yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menghadiri Karnival Latih Madani (KLM) dan Program Kesuma Madani di Dewan Ng Yam Huat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sim berkata, KSM juga akan merancakkan usaha meliputi penyediaan latihan kemahiran demi memenuhi keperluan majikan dan pekerja.

“Setiap pekerja mahukan gaji yang lebih baik dan setimpal manakala majikan pula inginkan kos lebih rendah dan keuntungan yang lebih tinggi.

“Kedua-dua (keinginan) ini bercanggah, namun, bagi saya, kita perlu berusaha bagaimana untuk menutup jurang perbezaan ini antara kos buat bisnes dan pekerja mendapat kebajikan dan gaji lebih baik. 

“Jadi, jawapannya ialah dengan meningkatkan produktiviti dan sekiranya ia dapat ditingkatkan, bukan sahaja majikan yang menjalankan perniagaan akan memperolehi lebih banyak keuntungan malah pekerja mendapat pampasan lebih bagus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhannya, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM44 bilion bagi memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Peruntukan ini juga bertujuan meningkatkan produktiviti usahawan PMKS untuk menaikkan rantaian nilai (ekonomi) antaranya dalam sektor automasi, digitalisasi dan sebagainya,” katanya.

Dianggarkan, lebih 1,000 pengunjung menghadiri program KLM anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) yang diadakan buat kali pertama di negeri ini selepas Johor, Sarawak dan Kuala Lumpur sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN