Klang bandar diraja bukan ‘Colombia’ - Utusan Malaysia

Klang bandar diraja bukan ‘Colombia’

Klang Colombia
RAZARUDIN Husin ditemui pemberita selepas selesai melawat Pasar Pagi Pandamaran di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kadar indeks jenayah di daerah ini dilaporkan tidak seburuk seperti tiga kawasan lain di Selangor sehingga dilabel sebagai ‘bandar Colombia’ berikutan kejadian pelbagai siri kes dilaporkan mutakhir ini.

Malah, di Selangor, Gombak kekal berada di tangga teratas dengan kadar jenayah yang tinggi diikuti Kajang dan Petaling Jaya, sementara Klang yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Selatan dan Utara didakwa mempunyai perbezaan kadar indeks ketara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, petikan yang diucapkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataan baru-baru ini adalah memetik daripada laporan portal berita lain.

Menurutnya, JSJ kini bersama pelbagai agensi lain sedang melaksanakan pembasmian pelbagai jenayah seperti dadah, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), kontraban dan sebagainya yang berlaku di kawasan Klang sejak 15 Januari lalu.

“Saya beri (maklumat) secara am, saya sudah berbincang dengan Mohd. Shuahaily, operasi sama juga akan dibuat di tempat-tempat lain yang perlu, untuk kita turunkan kadar jenayah. Yang mustahak, kita hendak menghilangkan persepsi dan anggapan orang terhadap Klang sebagai bandar Colombia.

“Saya datang awal pagi tadi tak ada pun (seperti Colombia), bersih, tak ada isu. Ia disebut oleh Shuhaily kerana dia petik daripada portal lain.

“Beliau tidak mengatakan Klang seperti bandar Colombia. Cuma hendak bersihkan bandar itu supaya stigma dan persepsi terbabit hilang, ia bukan bandar Colombia. Ia tetap bandar Klang, bandar diraja,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan tinjauan di Pasar Pagi Pandamaran, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan warga asing yang sebelum ini membanjiri kawasan pekan di Pelabuhan Klang, di sini seperti ‘hilang kuasa’ selepas 281 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam serbuan polis di sekitar Jalan Sekolah Persiaran Raja Muda, hari ini.

Serbuan dalam Operasi (Op) Aman itu bermula pada pukul 1.30 tengah hari dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Polis Kontinjen Selangor melibatkan radius seluas kira-kira dua kilometer (km).

Serbuan tersebut juga dikatakan membongkar aktiviti pelacuran melibatkan warga asing yang menawarkan perkhidmatan persundalan dalam kalangan komuniti mereka sejak lima tahun lalu.

Dalam pada itu, Razarudin turut menjelaskan operasi yang dilakukan di Klang adalah untuk menghapuskan stigma terhadap kawasan tersebut seperti yang tular dalam media sosial.

“Kalau kita bandingkan kes di tempat lain, Klang jenayahnya di Klang Selatan dan Utara, jika dibandingkan kadarnya, Gombak, Kajang, Petaling Jaya lagi tinggi. Untuk tahun ini betul, (kedudukannya) Gombak, Petaling Jaya dan Klang Selatan.

Put that in mind (bandar Klang, bandar diraja), kita akan tentukan bahawa Klang ini bersih, insya-Allah,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN