PATI ‘hilang kuasa’ di Pelabuhan Klang - Utusan Malaysia

PATI ‘hilang kuasa’ di Pelabuhan Klang

PATI Klang
SEBAHAGIAN PATI ditahan dalam Op Aman dekat Jalan Sekolah, Persiaran Raja Muda di pekan Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Warga asing yang sebelum ini membanjiri kawasan pekan di Pelabuhan Klang, di sini seperti ‘hilang kuasa’ selepas 281 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam serbuan polis di sekitar Jalan Sekolah Persiaran Raja Muda, hari ini.

Serbuan dalam Operasi (Op) Aman itu bermula pada pukul 1.30 tengah hari dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Polis Kontinjen Selangor melibatkan radius seluas kira-kira dua kilometer (km).

Operasi tersebut mencetuskan suasana gempar apabila Pelabuhan Klang sebelum ini dipercayai menjadi lubuk kepada komuniti itu untuk menguasai pelbagai perniagaan runcit termasuk menawarkan perkhidmatan seks serandah RM20.

Saban tahun komuniti yang terdiri daripada pelbagai negara itu dipercayai menguasai Pantai Barat daerah ikonik itu lebih lima tahun lalu sehingga menyebabkan mereka seolah-olah bermaharajalela di sana.

Tinjauan pemberita sepanjang operasi tersebut mendapati sebilangan mereka cuba bersembunyi di kedai dobi layan diri serta atas bumbung premis-premis di sana bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan tersebut gagal apabila mereka berjaya dikesan dron polis serta pasukan yang melakukan pencarian ketika serbuan.

Salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Vivek memberitahu, kewujudan warga asing tersebut bukan sesuatu yang baharu sehingga sebilangan mereka menawarkan perkhidmatan persundalan.

“Sebelum ini, mereka buat kerja macam pelacuran itu seawal pukul 6 pagi sejak lima tahun lalu. Ayam asing (pelacur warga asing) biasanya akan berpeleseran dekat satu lorong di pekan ini untuk menanti pelanggan.

“Dekat lorong tersebut ada deretan bangunan kira-kira 10 pintu. Kalau malam minggu dekat situ memang meriah. Jadi, pada saya memang patutlah bila polis datang buat serbuan sebab sudah lama sangat jadi sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penahanan kesemua PATI termasuk 52 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan itu dilakukan menerusi operasi selama tiga jam bermula pukul 2.30 petang. 

“Pemeriksaan terdahulu dilakukan terhadap 469 warga asing daripada pelbagai negara. Hasilnya, warga nepal mencatatkan jumlah PATI paling tinggi iaitu dengan 122 diikuti Bangladesh (63), Indonesia (52), India (24), Myanmar (14) dan Pakistan (6),” jelasnya. 

Beliau menambah, operasi tersebut disertai 348 anggota dan pegawai dari JSJ, Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Imigresen dan kes dalam operasi itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

Terdahulu dalam operasi tersebut, ada sebilangan PATI didapati menyorok di bumbung yang berjaya dikesan dron selain kedai dobi layan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN