Kilang sebabkan pencemaran bau ditahan operasi

Kilang sebabkan pencemaran bau ditahan operasi

ADUAN pencemaran dan bau busuk yang diterima JAS daripada orang awam di Kampung Tikam Batu Hujung, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan operasi sebuah kilang memproses kertas terpakai yang dikesan menyebabkan pencemaran dan bau busuk di Kawasan Perindustrian Tikam Batu, Sungai Petani.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil pihaknya selepas menerima aduan awam berkaitan bau busuk di Kampung Tikam Batu Hujung, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bau busuk berpunca daripada masalah sistem pengolahan efluen perindustrian sebuah kilang yang menjalankan aktiviti memproses kertas terpakai untuk dijadikan produk kertas.

“Kilang itu didapati gagal memastikan semua komponen sistem pengolahan efluen perindustrian berfungsi dengan baik yang mana kandungan oksigen terlarut di kolam pengoksidaan tidak berada dalam julat ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat kesan enapan yang disyaki berpunca daripada pelepasan efluen yang tidak mematuhi had ditetapkan JAS di kawasan alur air kawasan kilang terbabit.

“Selain itu, pihak premis diarah untuk menjalankan kerja penambahbaikan bagi menangani masalah tersebut.

“Berikutan itu, kilang terbabit dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38 (1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, JAS Kedah turut menyita kelengkapan sebuah kilang ‘spray’ logam yang melanggar arahan POK dikeluarkan agensi itu pada 22 Januari lalu.

“JAS yang menjalankan pemantauan premis di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani mengesan sebuah premis yang masih beroperasi walaupun telah dikenakan tindakan POK sebelum ini. Hasil siasatan mendapati rantai kunci premis itu telah dipotong bagi membolehkan beroperasi secara haram.

“Sebelum ini, kilang itu diberhentikan operasi kerana menyebabkan pencemaran udara dan masalah bau di sekitar kawasan perindustrian berkenaan. Pihak kilang juga diarahkan untuk menjalankan kerja penambahbaikan bagi menangani masalah itu,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu pihaknya telah menyita kelengakapan kilang berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 48 AD (b) akta sama.

“JAS menyeru orang awam untuk menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar dengan menghubungi talian 1-800-88-2727 atau di http://eaduan.doe.gov.my,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×