Kerjaya kedua veteran ATM diperhebat

Kerjaya kedua veteran ATM diperhebat persediaan hadapi kehidupan selepas bersara

Latihan kemahiran yang diperoleh di PERHEBAT dapat membantu veteran tentera mencari pekerjaan lain selepas bersara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) memberi sinar kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menempuh kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan.

Ini kerana kebanyakan veteran ATM bersara pada usia 29 tahun hingga 47 tahun dan perlu terus menanggung keluarga dan anak-anak mereka yang masih kecil.

Seorang bekas pelatih PERHEBAT, Leftenan Komander (B) Mohd. Hanif Husain berkata, latihan di PERHEBAT banyak membantu beliau melalui transisi daripada anggota tentera kepada orang awam.

Katanya, ini kerana PERHEBAT menyediakan kemudahan latihan serta modul yang inklusif untuk membantunya bergelar seorang usahawantani berjaya.

BEKAS pelatih PERHEBAT, Mohd. Hanif Husain menunjukkan jagung yang dihasilkan beliau hasil daripada latihan pertanian yang dianjurkan oleh PERHEBAT dengan kerjasama UPM.

Pengasas Pinzgauer Services itu mengikuti Latihan Peralihan dalam kursus Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Agrotani
dan USAHAWANTANI PUTRAPERHEBAT yang merupakan program kerjasama PERHEBAT dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mohd. Hanif kini mengusahakan tanaman jagung seluas enam ekar dan serai (12 ekar) serta projek penanaman cili bara secara fertigasi.

“Kalau tanpa latihan, mungkin tidak nampak apa saya akan lalui selepas bersara. Sebab petani perlu ilmu dan di situ saya ada
networking dengan PERHEBAT dan UPM.

“Kalau ada masalah boleh terus dapatkan khidmat nasihat mereka. PERHEBAT lebih kepada pemasaran manakala UPM kepada cara penanaman. Jadi, walaupun sudah tamat latihan, mereka sangat membantu,” katanya ketika dihubungi, Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi pelatih PERHEBAT, Staf Sarjan (B) Azman Abu Suid, 47, berkata, beliau kini boleh tersenyum apabila dapat menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil mengikuti latihan di PERHEBAT.

Jelas pengusaha perniagaan jahitan kusyen dan kanvas sejak 2021 itu, beliau mungkin akan melalui kehidupan yang sukar sekiranya hanya mengharapkan elaun pencen sepenuhnya.

“Jadi PERHEBAT sudah beri peluang kemahiran, Alhamdulillah sangat membantu. Macam saya tinggal di luar bandar, walaupun tidak mewah, tetapi boleh jana kira-kira RM4,000 sebulan,” katanya yang juga merupakan penerima geran perniagaan menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM).

PERHEBAT menyediakan pelbagai latihan kemahiran untuk anggota tentera yang bakal bersara.

Pada masa sama, pelatih kursus Usahawan Spa Kenderaan, Sarjan Wan Farlini Izalis Alias berkata, modul pembelajaran di
PERHEBAT sangat berstruktur selain tenaga pengajarnya yang amat berkemahiran serta berpengalaman.

Atas sebab itu, katanya, beliau memilih untuk mengikuti Latihan Peralihan di PERHEBAT berbanding institusi lain.

“Saya percaya latihan di PERHEBAT dapat membantu menampung kehidupan selepas bersara nanti.

“Dalam masa tiga bulan saya di sini, guru-guru sangat tumpu betul-betul supaya kita dapat ilmu itu,” katanya.

Seiring dengan aspirasi Kementerian Pertahanan, PERHEBAT berperanan melaksanakan Latihan Peralihan dalam bidang teknikal, vokasional dan keusahawanan menerusi 16 buah Pusat Latihan dan Bimbingan Veteran (PLBV) di seluruh Malaysia.

Latihan Peralihan – Transformasi ke dunia awam

Latihan Peralihan merupakan program khas disediakan kerajaan kepada anggota ATM yang bakal menamatkan perkhidmatan agar mereka memperoleh kemahiran dan pengalaman supaya dapat menyesuaikan diri dengan corak penghidupan baharu setelah tamat perkhidmatan.

Pemangku Ketua Pengarah PERHEBAT, Kapten (B) Mohd. Radzi Mohd. Ali berkata, PERHEBAT menyediakan 43 jenis kursus kepada anggota ATM
bagi membantu menampung kehidupan mereka selepas tempoh persaraan.

Mohd. Radzi Mohd. Ali menunjukkan sebahagian daripada produk yang dihasilkan oleh veteran tentera selepas mengikuti latihan di PERHEBAT. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF

Beliau berkata, kursus yang disediakan berdasarkan kecenderungan dan minat anggota seperti keusahawanan, perkhidmatan, mekanikal dan
elektrikal, binaan dan automotif.

“PERHEBAT berbeza dengan Institut Latihan Kemahiran (ILK) yang lain kerana kami melatih, membimbing dan memantau kelompok pelatih yang merupakan anggota ATM yang akan menamatkan perkhidmatan dalam usia yang masih aktif dan mereka mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.

“Maka, di sinilah cabarannya kerana latihan selama 3 bulan itu adalah tempoh yang amat kritikal untuk kami membentuk dan transisi seorang tentera kepada orang awam, seterusnya membantu mereka mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Tambah beliau, PERHEBAT juga mengamalkan latihan secara andragogi yang sesuai untuk orang dewasa berbanding dengan latihan untuk remaja lepasan sekolah.

“Tempoh masa latihan yang layak diikuti oleh anggota-anggota juga berbeza di antara enam bulan hingga 18 bulan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PERHEBAT juga menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM); Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan
Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Jelas beliau, ia hasil kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menerusi pelaksanaan program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPEL).

“Pada tahun lepas, seramai 967 anggota dan veteran ATM telah ditauliahkan Pensijilan Kemahiran Malaysia (SKM, DKM dan DLKM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya