MELAKA: Seramai 3,500 pengunjung warganegara Malaysia dijangka mengunjungi Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini bersempena kemasukan percuma yang ditawarkan kerajaan negeri khusus untuk Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, 20 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Nasrul Ahmad memaklumkan, bilangan petugas di lokasi pelancongan utama itu juga akan ditambah bagi melicinkan proses keluar masuk orang ramai ke pelantar menara tinjau, bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Beliau berkata, imbasan identiti hanya dilakukan kepada pengunjung dewasa sahaja bagi mempercepatkan urusan terutama kepada mereka yang berkeluarga.
Jelasnya, satu kaunter khas melibatkan penjualan cenderahati dan makanan ringan turut disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan oleh-oleh untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.
“Kita tidak menyediakan laluan khas semasa 20 Februari ini. Laluan yang akan digunakan adalah laluan sedia ada untuk menaiki menara. MTSB akan menyediakan kaunter jualan khas melibatkan jualan cenderahati dan makanan ringan.
“Untuk imbasan kod QR kehadiran, MTSB mewajibkan kepada ibu bapa dan golongan dewasa. Bagi kanak-kanak, jika mereka mempunyai telefon bimbit, dibolehkan untuk mengimbas kod QR tersebut. Jika tiada, memadai ibu bapa atau penjaga sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kerajaan negeri menawarkan kemasukan percuma di 10 lokasi pelancongan popular di Melaka sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Lokasi-lokasi berkenaan adalah Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari, Muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Zoo Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi.
Turut ditawarkan kemasukan percuma adalah Melaka Wonderland & Themepark, Taman Laut Melaka, kelab-kelab golf Melaka, Muzium Penjara Malaysia dan Malaysia Heritage Studios. – UTUSAN









