Keldai akaun: Polis tahan lelaki sebabkan kerugian RM97,000

Keldai akaun: Polis tahan lelaki sebabkan kerugian RM97,000

SUSPEK lelaki yang ditahan polis kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM97,000 di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada satu sindiket penipuan yang menyebabkan seorang mangsa mengalami kerugian hingga mencecah RM97,000, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, berdasarkan risikan dan maklumat awam yang diterima, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di negeri ini Khamis lalu oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya.

Katanya, suspek terbabit dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan yang menyamar sebagai kakitangan Pos Laju dan pegawai polis melalui dalam talian dalam kejadian di Balik Pulau itu.

“Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan telah membuat sebanyak enam transaksi secara dalam talian ke dalam tiga akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan (transaksi) sebanyak RM97,000,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam perkembangan lain, katanya, polis menahan empat lelaki berusia antara 23 tahun hingga 37 tahun di lokasi yang berasingan di sekitar Bayan Baru kerana disyaki positif dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine serta ketamin.

”Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN