Kekal jual teh 'O' 50 sen, balas bantuan rawat anak sakit leukemia

Kekal jual teh ‘O’ 50 sen, balas bantuan rawat anak sakit leukemia

ROHAIZAD Abdul Khalid (kanan) dan Yusnira Mukhtar di Warung Teh 'O' 50 Sen yang diusahakan mereka di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sepasang suami isteri yang mengusahakan kedai makan sejak 10 tahun lalu masih kekal menawarkan harga 50 sen untuk secawan air teh ‘O’ kepada pelanggan mereka.

Rohaizad Abdul Khalid, 44, dan Yusnira Mukhtar, 42, malah turut meletakkan nama kedai makan mereka yang berada di Kampung Bagan Pinang itu dengan nama Warung Teh ‘O’ 50 sen.

Yusnira berkata, kedai makan itu mereka usahakan selepas masing-masing berhenti kerja kerana mahu menguruskan sepenuhnya anak kedua mereka, iaitu Puteri Iris Sofea yang disahkan sakit leukemia ketika berusia dua tahun.

“Sebelum berniaga, memang kami banyak ambil cuti tanpa gaji, jadi kami ambil keputusan untuk berhenti. Semasa mula-mula buka kedai untuk sarapan pagi memang sukar kerana anak masih berada di hospital.

“Bekas rakan-rakan sekerja saya dan suami banyak membantu menghulurkan bantuan kewangan untuk anak sehingga mencecah ribuan ringgit. Apabila memulakan perniagaan, kami fikirkan bagaimana cara ingin membalas kembali jasa mereka dan daripada itu kami mula menjual air teh ‘O’ 50 sen ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Yusnira lagi, nama unik itu juga berjaya menarik kehadiran orang ramai untuk datang ke kedainya.

“Ramai tidak percaya kami jual air teh ‘O’ sama ada yang dihidangkan secara panas dan sejuk dengan harga serendah 50 sen secawan. Harga ini bagaimanapun untuk mereka minum di kedai sahaja,” katanya yang mahu mengekalkan harga tersebut walaupun mengakui harga barangan semakin meningkat.

Sementara itu katanya, kedai makannya yang menawarkan menu masakan lauk pauk Negeri Sembilan dan asam pedas Melaka dibuka pada setiap hari Selasa hingga Ahad dari pukul 10.30 pagi hingga 4.30 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN