KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia akan memberi fokus terhadap isu penyalahgunaan kertas undi oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam proses undi awal pada Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 kali ini.
Proses pengundian berlangsung semalam bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang untuk kemudahan lebih 800,000 rakyat Indonesia yang berdaftar sebagai pemilih di negara ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berkata, pihaknya akan memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku seperti yang tercetus dalam Pemilu lima tahun lalu.
“Kita ingin mengurangkan penyalahgunaan kertas undi daripada pihak yang tidak berkepentingan dalam pemilihan kali ini agar proses memilih kepimpinan baharu berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses undi awal di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.
Enam pusat pengundian awal yang dibuka di Malaysia ialah di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Kuching, Sarawak
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di PWTC mendapati ratusan ribu rakyat Indonesia yang layak mengundi mula beratur di Pusat Pengundian WTCKL seawal jam 7.30 pagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia menetapkan tempoh bertenang selama tiga hari untuk Pemilu 2024 bagi pemilihan Presiden dan anggota legislatif bermula semalam sehingga 13 Februari, sebelum proses pengundian dijadual pada 14 Februari.
Indonesia sudah memulakan kempen pilihan raya Presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk merebut jawatan pemimpin baharu negara itu
Persaingan itu melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan. – UTUSAN










