KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mendepani cabaran menjaga kedaulatan perairan negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, selain meningkatkan kekuatan aset APMM, turut akan diperkasakan adalah kecekapan pegawai dan anggotanya.
Menurut beliau, langkah itu penting ekoran isu pencerobohan nelayan asing di sempadan perairan negara serta kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk melalui jalan laut.
Katanya, sebanyak 1,200 tangkapan direkodkan APMM sepanjang tahun lalu dengan 74 daripadanya kes membabitkan cubaan masuk 233 orang PATI ke negara ini.
“Pada 2024 kita mahu usaha mencegah pencerobohan perairan ditingkatkan agar nelayan tempatan dapat bekerja dengan selamat dan sektor lain juga berjalan positif dengan keselamatan perairan yang terjamin.
“Bagi tujuan itu, KDN akan meningkatkan keupayaan bukan sahaja dari sudut kekuatan aset bahkan juga kecekapan pegawai dan anggota APMM turut akan ditambahbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Maritim Perkasa 2024 di Dataran Jambatan Angkat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, APMM Terengganu telah berjaya menyelamatkan lebih RM15 juta hasil laut negara menerusi 4,958 pemeriksaan pada tahun lalu.
Menurut beliau, sebanyak 86 kes tangkapan dibuat APMM negeri berkenaan membabitkan pencerobohan nelayan warga asing yang didapati menangkap ikan di kawasan perairan negara.
“Di Terengganu kurang kes cubaan masuk PATI dengan hanya satu kes pada 2023 sebaliknya lebih kepada pencerobohan nelayan warga asing terutama Vietnam,” tambahnya. – UTUSAN










