ALOR SETAR: Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC) sedang berusaha mendapatkan dana pendahuluan bagi membayar segera tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan itu yang bertanding dalam Liga Malaysia termasuk staf pentadbiran kelab.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, pengurusan kelab diketuai Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaan dana daripada institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut.
Namun beliau menjelaskan dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal April sedangkan tarikh akhir penyelesaian gaji tertunggak bagi tahun kewangan 2023 yang ditetapkan adalah 5 Mac ini.
“Pihak pengurusan telah menerima makluman daripada Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) bahawasanya KDA FC diberikan tempoh sehingga 5 Mac iaitu sebelum Mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) MFL pada keesokan harinya.
“Rentetan kekangan untuk memenuhi keperluan itu, KDA FC sedang bertungkus lumus mendapatkan dana pendahuluan bagi tujuan pembayaran segera kepada semua.
“Tan Sri (Mohd. Daud) selaku pemilik majoriti, Lembaga Pengarah dan pengurusan KDA FC mengambil tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan telus dalam menangani isu berbangkit terutamanya aspek kelestarian kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Shahrul turut memaklumkan, pihaknya tetap fokus melakukan segala persiapan pasukan-pasukan KDA FC untuk musim 2024-2025 walaupun kelab bergelut dengan isu kelestarian kewangan musim lepas.
Katanya, proses persiapan kini sudah mencapai tahap 85 peratus, namun segala langkah yang diatur bergantung kepada keutamaan penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023.
“Justeru, pengumuman berkenaan pasukan serta penajaan hanya akan dilakukan selepas isu utama diselesaikan, namun pasukan Liga Super kita merancang untuk mula berlatih bagi pra-musim pada minggu hadapan,” katanya.
Tambahnya, selain membuka ruang kerjasama melalui pelaburan, penajaan dan usahasama bagi musim ini, KDA FC sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membantu memberikan cadangan jalan penyelesaian segera.
Shahrul berkata, penyelesaian itu diharapkan melalui saluran serta kaedah yang sesuai supaya tidak mengundang kepada tanggapan serong kepada urusan pentadbiran KDA FC.
“Segala sumbangan perlulah melalui prosedur berlandaskan urus tadbir kewangan yang betul. Cadangan amat dialu-alukan bagi membuka lebih banyak idea-idea baru untuk mengatasi isu kewangan semasa kelab.
“Pada masa sama, Lembaga Pengarah terharu dengan komitmen semua individu yang terlibat dalam isu kewangan ini kerana terus komited dan setia bersama KDA FC.
“Kerjasama dan memahami situasi semasa kelab bukan sahaja mengekalkan keharmonian bersama pengurusan, pemain dan pegawai serta staf pentadbiran tetapi dalam isu ini turut memberi motivasi dan petanda positif untuk penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku,” katanya. -UTUSAN











