ALOR SETAR: Sebanyak 120 ketulan mampat disyaki ganja yang cuba diseludup masuk melalui jalan laut dari negara jiran berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah di Sungai Berembang, Perlis pada Khamis lepas.
Menurut Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abdul Latif, nilai rampasan dadah tersebut adalah sebanyak RM420,000 dan mampu diedarkan kepada 600,000 penagih jika terlepas ke pasaran.
“Anggota Penguatkuasaan JKDM Alor Setar membuat pemantauan dan risikan di sekitar Jalan Persisiran Sungai Berembang Kuala Perlis pada pukul 2.45 pagi dan mengesan sebuah bot nelayan jenis sampan yang dipercayai berasal dari negara jiran tanpa nombor pendaftaran.
“Ketika serbuan, bot tersebut sedang memunggah enam karung guni yang diletakkan di gigi air berdekatan Jeti LKIM Sungai Berembang. Setelah menyedari kehadiran anggota, bot tersebut telah memecut laju meninggalkan kawasan pantai tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Negeri Kedah, di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap karung guni tersebut, pasukannya menemukan 120 ketulan mampat disyaki sebagai dadah jenis ganja dengan anggaran berat kira-kira 120 kilogram (kg).
“Modus operandi penyeludup adalah dengan meletakkan karung guni berkenaan ke dalam lumpur sebelum diambil oleh pihak ketiga,” katanya.
Katanya, JKDM Kedah komited dalam membanteras dan mengekang aktiviti penyeludupan termasuk menggesa orang ramai turut menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat. -UTUSAN










