SEGAMAT: “Ini kari tersedap di Johor.” Itu pengalaman paling indah bagi Nuryan Ahmad, 42,
yang mendapat pujian itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada tahun 2018
lalu sewaktu Kembara Mahkota Johor di sini.
Walaupun peristiwa itu sudah enam tahun berlalu, tetapi detik itu tidak mungkin dapat dilupakan oleh anak jati Kampung Sungai Lenek, Chaah, Segamat itu.
“Saya teringat pengalaman manis bersama Sultan Johor sewaktu Kembara Mahkota Johor (KMJ) tahun 2018, santapan diraja yang dihidangkan ketika itu adalah tosei, capati bersama kari kambing.
“Apabila Tuanku santap, Tuanku terus bertitah, kari ini tersedap di Johor. Saya waktu itu ingatkan Tuanku hanya berseloroh.
“Sehinggalah Exco Perpaduan Negeri Johor ketika itu masuk menghadap Tuanku dan Tuanku sekali lagi memberitahu kari yang saya masak itu adalah kari terbaik di Johor,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagi Nuryan, 42, bidang tugas dalam Unit Majlis dan Keraian di Pejabat Daerah Segamat menuntutnya mengenali dengan lebih dekat makanan kegemaran kerabat Diraja Johor khususnya Sultan Ibrahim.
Katanya, baginda yang amat gemar masakan kampung terutama sekali ikan kering sepat goreng kukur.
“Antara lauk lain kesukaan Tuanku adalah sotong masak hitam, batang keladi asam rebus, asam rebus nanas ikan senangin, udang, sotong, ketam, tauge dan tauhu masak air dan sate perut atau babat.
“Bidang kerja saya sememangnya berkaitan dengan menguruskan keberangkatan Diraja atau ketibaan dif-dif jemputan kenamaan ke daerah.
“Apabila dimaklumkan berkenaan program berkaitan keberangkatan baginda, saya gembira dan bangga namun dalam masa sama berdebar-debar.
“Kebiasaannya apabila dimaklumkan tentang sesuatu program, saya akan buat kajian terlebih dahulu. Takut-takut jika hidangan yang disaji tidak dapat menarik hati tetamu Diraja,” katanya ketika ditemui
di Majlis Daerah Segamat semalam.
Tambah Nuryan, paling utama dia harus menitikberatkan penyajian serta tata cara mengendalikan santapan Diraja yang sememangnya berbeza daripada hidangan majlis biasa.
Katanya, program KMJ adalah tumpuan utama beliau saban tahun yang menuntut persiapan awal dan rapi dilakukan. – UTUSAN







