ALOR SETAR: Kampung Benua di Simpang Empat, dekat sini tiba-tiba menjadi menjadi tumpuan orang ramai kini termasuk dari luar negeri pada cuti persekolahan untuk mengunjungi replika jerami gulung.
Lebih menarik, di kawasan yang sama penduduk setempat mengambil kesempatan untuk bermain wau sempena musim kemarau yang melanda Kedah ketika ini sekali gus menambah keindahan latar jerami gulung ilham penduduk setempat itu.
Seorang pengunjung dari Jengka, Pahang, Zulkarnaen Abdullah, 51, mengakui sangat teruja melihat keindahan jerami gulung yang berlatarkan sawah itu.
“Kebetulan kami enam beranak datang ke Kedah untuk mengambil anak yang belajar di Pondok Darsa dekat Kuala Nerang dan terdengar cerita tentang jerami gulung ini. Memang teruja dan seronok kerana pemandangan ini adalah sesuatu yang baharu untuk kami.
“Ada juga orang bermain wau jadi ia sangat menarik. Bagi saya aktiviti seperti ini perlu diteruskan dan ditambah baik kerana ia boleh menjadi tarikan pelancong,” katanya ketika ditemui dekat sini semalam.
Menurut penduduk, Tan Ngee Keng, 62, dia yang menetap tidak jauh dari kawasan itu juga tidak melepaskan peluang bersiar-siar di kawasan tersebut.
“Seronok sebab tiba-tiba Kampung Benua ini jadi tumpuan. Saya setiap hari datang berjalan-jalan di sini untuk bersiar-siar dan merasai keseronokan sama seperti orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, menurut penduduk yang terlibat dengan pembinaan replika jerami gulung berkenaan, Radzi Ahmad, 40, sekitar 100 penduduk kampung pelbagai lapisan umur bergotong-royong membina replika jerami gulung itu sejak sebulan lepas.
“Kami keluarkan wang sendiri lebih kurang RM500 untuk beli peralatan untuk mengindahkan jerami gulung ini dengan kerjasama pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang menggulung jerami ini.
“Kami menggunakan 16 jerami gulung kecil dan enam jerami gulung besar untuk buat replika. Aktiviti ini mengumpulkan penduduk kampung termasuk anak-anak muda untuk melakukan aktiviti berfaedah,” katanya.
Kampung Benua berasal dari perkataan ‘Benua Siam’ yang diberi peneroka kawasan tersebut dari Thailand selepas pembinaan Terusan Wan Mat Saman lebih 100 tahun lepas. – UTUSAN










