Jenazah Sarjan Rozali dikebumikan mengikut istiadat tentera - Utusan Malaysia

Jenazah Sarjan Rozali dikebumikan mengikut istiadat tentera

MUHAMMAD Nabil menyiram air mawar di pusara ayahnya, Rozali Abdull Rani di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor, Besut, pagi ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Jenazah anggota Tentera Darat Malaysia, Allahyarham Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga trak askar dengan sebuah lori di Kilometer 77.5, Lebuh Raya Utara-Selatan, Gurun, Kedah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor, di sini, pagi ini.

Majlis pengebumian jenazah anggota dari Kem 3, Rejimen Sempadan Pengkalan Hulu, Perak, itu disempurnakan dengan istiadat ketenteraan termasuk kawalan kehormatan jenazah.

Jenazah Rozali tiba di tanah perkuburan tersebut pada pukul 7 pagi dan selesai dikebumikan kira-kira satu jam kemudian.

Istiadat pengkebumian itu melibatkan pegawai dan anggota dari Kem 3, Rejimen Sempadan Pengkalan Hulu, Perak.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham sebelum itu tiba di Masjid Kampung Gong Bayor, Besut pukul 5.45 pagi yang dibawa dengan menggunakan van jenazah.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga termasuk isteri arwah, Tuan Nor Hasliza Tuan Mohd. Nor, 37, dan anak tunggalnya, Muhammad Nabil Rozali, 13, sepanjang proses pengkebumian itu berlangsung.

Yang hadir sama Pegawai Pemerintah Batalion Ke 3 Rejimen Sempadan Pengkalan Hulu, Perak Leftenan Kolonel Saiful Azril Zahimi dan Ketua Staf Markas Briged Ke-8 Infantri Malaysia Kem Pengkalan Chepa, Leftenan Kolonel Mohd. Azmi Mohd. Nor.

Media semalam melaporkan tiga anggota tentera terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah lori di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat Gurun semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Selain Sarjan Razali Abdull Rani yang bertugas di Batalion Ke-3 Rejimen Sempadan di Kem Pengkalan Hulu, Perak, dua lagi identiti anggota yang maut ialah Lans, Koperal Mohd. Hafiz, 30, dan Koperal Mohd. Asri Idris, 40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN