Jenazah Azraai Khor selamat dikebumikan

Jenazah Azraai Khor selamat dikebumikan

ANAK-anak Allahyarham Mohd. Azraai Khor Abdullah (gambar kecil) di sisi pusara bapa mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jenazah Mohd. Azraai Khor Abdullah yang meninggal dunia, hari ini selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda, di sini.

Terdahulu, jenazah bekas ketua jurulatih Kedah dan Harimau Muda itu dibawa dari sebuah pusat perubatan swasta ke rumahnya di Kampung Alor Semadom, sebelum disembahyangkan di Masjid Sultanah Bahiyah.

Allahyarham meninggalkan balu, Rohani Ibrahim, 64, dan tiga anak iaitu Mohd. Firdaus, 32; Siti Fairuz, 31, dan Nur Azryena, 21.

Mohd. Azraai Khor disahkan meninggal dunia pada pukul 12.05 tengah hari tadi ketika menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta setelah dipercayai mengalami serangan strok.

Terdahulu, beliau yang juga bekas pemain Kedah dan kebangsaan era 70-an berusia 72 tahun itu sudah empat hari mengalami kesakitan di bahagian perut

Beliau menjadi satu-satunya jurulatih tempatan yang mencipta sejarah selepas skuad Hijau Kuning pimpinannya merangkul kejayaan berganda Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Allahyarham yang bermain di posisi tengah atau sayap memulakan karier sebagai pemain profesional bersama Kedah FA sejak tahun 1969 sehingga 1980.

Beliau pernah menyertai skuad Harimau Malaya ketika Piala Asia di Iran dan merupakan antara pemain ketika Malaysia menjuarai Piala Merdeka dan Piala Raja Thailand sebelum memulakan kerjaya sebagai jurulatih skuad Hijau Kuning sejak 2004. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN