PADANG BESAR: Jejantas menghubungkan Stesen Kereta Api Padang Besar ke Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar dibuka semula bagi kemudahan orang ramai.
Pembukaan semula jejantas pejalan kaki sepanjang 350 meter itu selepas hampir empat tahun ditutup.
Jejantas berkenaan ditutup 1 September 2020 oleh Jabatan Imigresen Perlis berikutan faktor keselamatan selepas beberapa siri penangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba bolos ke negara ini menggunakan laluan jejantas sehingga kawasan ICQS.
Penutupan tersebut juga untuk memberi laluan kepada kerja naik taraf koridor pejalan kaki yang disambungkan dengan jejantas berkenaan untuk keluar dari Kompleks ICQs menuju Bulatan Padang Besar yang dibiayai kos RMRM250,000.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam negeri, Izizam Ibrahim berkata, pembukaan jejantas dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu hasil perbincangan pihaknya dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jabatan Imigresen.
“Mereka sebulat suara bersetuju untuk membuka semula jejantas berkenaan bagi kemudahan orang ramai yang turun di stesen kereta api menuju Arked Niaga Padang Besar dan kawasan sekitarnya.
“Jejantas ini dibuka setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 10 malam.
“Sepatutnya ia dibuka November lalu, namun terpaksa ditunda bulan demi bulan atas sebab tertentu. Kita berjaya selesaikan antara dua hingga tiga perkara berbangkit berhubung keselesaan pengunjung yang turun di stesen kereta api,” katanya.
Tambah Izizam, beberapa perkara perlu ditambah baik selepas ini iaitu termasuk kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) menggunakan kerusi roda untuk melalui jejantas kerana hanya disediakan tangga.
Katanya, untuk sementara, mereka mungkin terpaksa guna khidmat teksi atau kenderaan e-hailing.
“Pembukaan semula jejantas itu juga dilihat akan menyebabkan pendapatan pemandu teksi dan e-hailing membawa pelancong ke tempat beli-belah seperti Arked Niaga Padang Besar atau Padang Waremart terjejas.
“Saya ada bertemu mereka bagi mencari solusi terbaik dalam hal ini. Selain itu, saya lihat perlu mencari satu alternatif dalam merancakkan lagi suasana di sekitar kawasan stesen kereta api seperti mewujudkan rumah transit kepada penumpang yang tiba awal di stesen.
“Dalam hal ini, terdapat dua hingga tiga pelabur berminat membangunkan kawasan sekitar stesen kereta api, namun masih di peringkat perbincangan,” katanya.-UTUSAN










