GEORGE TOWN : Umat Islam dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai dakwaan-dakwaan karut melibatkan kemunculan Imam Mahdi di media sosial termasuk di aplikasi Tiktok.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ini kerana dakwaan-dakwaan individu yang mendakwa sebagai Imam Mahdi itu sering muncul dari semasa ke semasa dalam pelbagai versi.
“Dalam hal ini, kita tidak dapat memastikan apakah motif sebenar di sebalik dakwaan sedemikian.
“Selain itu, kita juga tidak dapat memastikan tahap kewarasan akal individu yang mengaku dirinya Imam Mahdi itu atau dia ada gangguan mental yang memerlukan rawatan psikiatrik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular di Tiktok melibatkan individu yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, umat Islam juga tidak perlu obses dengan kemunculan tokoh tersebut.
“Sebaliknya, sebagai umat Islam, kita perlu terus komited kepada segala ajaran Islam seperti yang terkandung dalam dalam Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.
“Kedatangan Imam Mahdi ini tidak lain melainkan untuk menyeru seluruh manusia kepada ajaran-ajaran ini. Beliau bukan membawa ajaran baharu tetapi memperjuangkan misi Islam yang sedia ada,” katanya.

Tambah Wan Salim, umat Islam perlu berpegang teguh dengan segala ajaran Islam dan meningkatkan lagi ilmu serta kefahaman dalam semua hal yang berkaitan dengannya.
“Ini lebih membantu seorang Muslim untuk mencapai kedudukan yang baik di sisi Allah SWT.
“Jadi, tidak payahlah menghabiskan masa menunggu Imam Mahdi. Sikap begini lebih menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa penipuan mana-mana individu berkepentingan dan tidak bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN









