J/kuasa bertindak bantah bina asrama kemuka 3 strategi pastikan projek batal

J/kuasa bertindak bantah bina asrama kemuka 3 strategi pastikan projek batal

SEBAHAGIAN daripada peserta yang mengambil bahagian dalam perhimpunan aman untuk membantah pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar akan menggunakan tiga strategi untuk memastikan cadangan pembinaan asrama itu dibatalkan oleh kerajaan negeri.

Pengerusinya, Prof. Dr. Muhamad Idiris Saleh berkata, strategi pertama ialah meneruskan siri bantahan dengan menggunakan cara berhimpun secara aman bersama penduduk setempat dan wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

”Selain itu, kami akan membawa suara bantahan penduduk ini ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menggunakan aspek perundangan untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

“Siri bantahan ini akan diadakan secara berterusan kerana kami tidak mahu asrama pekerja asing itu dibina di kawasan Teluk Kumbar,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perhimpunan aman di Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Perhimpunan aman yang diadakan hari ini itu merupakan kali keempat digerakkan oleh Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar setakat ini.

Ia dihadiri oleh lebih 100 penduduk setempat bersama wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik yang membantah projek itu.

Sebelum ini, pada Disember tahun lalu, penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan tersebut.

Susulan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan, projek asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar yang dibantah penduduk setempat sebenarnya adalah berkapasiti lebih 7,000 pekerja sahaja namun penduduk tetap membantah pembinaan asrama itu di kawasan mereka.

Menurut Muhamad Idiris, jawatankuasa itu juga memutuskan bahawa tiada perbincangan lanjut akan diadakan dengan pemaju projek itu memandangkan penduduk setempat tidak bersetuju dengan projek tersebut.

MUHAMAD IDIRIS SALEH

”Kami tidak akan berjumpa atau berbincang dengan pemaju kerana kami tidak mahu projek ini diteruskan di Teluk Kumbar, sebaliknya, kami mahu ia dibina di lokasi lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga telah menyampaikan memorandum bantahan projek itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

“Memorandum bantahan kepada Perdana Menteri ini kami sampaikan menerusi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan kami berharap suara bantahan kami akan mendapat perhatian Perdana Menteri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN