GEORGE TOWN : Umat Islam diingatkan supaya sentiasa menyelidik latar belakang seseorang ulama atau pengikutnya terlebih dahulu serta tidak taksub dengan mana-mana ajaran yang dibawa oleh mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Peringatan itu disampaikan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor susulan terbongkarnya kegiatan seorang lelaki warga Maghribi atau dikenali sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’ dalam kalangan pengikutnya yang mengaku berada dalam jalur keturunan ke-38 Nabi Muhammad S.A.W.
Menurut Wan Salim, keturunan yang mulia sekalipun tidak akan memberi sebarang manfaat kepada seseorang itu jika dia merupakan seorang individu yang tidak taat kepada hukum dan ajaran agama seperti yang disampaikan oleh Baginda sebelum ini.
Sebaliknya, kata beliau, seorang hamba abdi yang beriman dan bertaqwa atau soleh adalah jauh lebih baik daripada seseorang yang berketurunan Nabi tetapi bersifat jahat dan fasik.
“Saya menyokong nasihat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar) supaya masyarakat mengelak daripada bersikap taksub secara membuta-tuli kepada seseorang yang mendakwa dirinya sebagai berketurunan Nabi Muhammad.
“Sikap taksub sedemikian boleh menyebabkan fikiran seseorang itu menjadi tertutup daripada melihat kebenaran. Jadi, selidiklah dahulu latar seseorang itu supaya tidak mudah menjadi mangsa tipuan individu atau kumpulan yang berkepentingan ini,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa kegiatan lelaki tersebut atau lebih dikenali sebagai ‘Mawla Amin’ sedang dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas lanjut, Wan Salim memberitahu, kira-kira dua tahun yang lalu, lelaki berkenaan sebenarnya pernah dibawa oleh para pengikutnya ke Pulau Pinang dan beliau antara individu yang dijemput untuk hadir bersama dalam satu majlis selawat nabi di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM).
“Mulanya saya telah menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis tersebut, namun, saya terpaksa membatalkannya setelah meragui kesahihan bahawa dia daripada keturunan Rasulullah.
“Saya meragui dakwaannya itu berdasarkan maklumat yang saya peroleh daripada sumber pelajar Malaysia di Maghribi sendiri yang tahu mengenai latar belakang individu berkenaan,”katanya yang bagaimanapun tidak menafikan bahawa keturunan Baginda sememangnya masih wujud hingga ke hari ini, iaitu daripada Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib.
Oleh yang demikian, kata Wan Salim, orang ramai dinasihatkan agar terus berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kepada penipuan individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab yang mengaku dirinya sebagai cicit kepada Nabi Muhammad.
“Dalam hal ini, seseorang yang mengaku bahawa dirinya mempunyai nasab tersebut perlu diminta supaya mengemukakan dokumen yang sah daripada pihak berkuasa di negaranya seperti mahkamah, majlis agama Islam, atau persatuan ulama yang dikenali umum terlebih dahulu,” katanya.-UTUSAN










