PUTRAJAYA: Seramai empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak malam tadi berjaya ditahan semula, manakala, 126 lagi tahanan masih diburu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, keempat-empat tahanan itu ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi.
Beliau berkata, polis sudah menahan empat orang PATI itu dan mereka akan dibawa ke depoh untuk dokumentasi dan sebagainya.
“Kita masih belum dapat kenal pasti empat individu yang sudah ditahan ini kerana mereka baru sahaja ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya dimaklumkan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di depoh terbabit cedera ringan akibat insiden berkenaan.
Ruslin berkata, ketika rusuhan itu, tahanan dikesan merempuh pintu sel dan pagar, malah turut membaling batu ke arah petugas.
“Buat masa ini, usaha mengesan baki tahanan yang masih bebas sedang giat dilaksanakan dengan bantuan pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pihak berkuasa masih memburu saki baki tahanan dan percaya mereka bersembunyi di sekitar kawasan itu. Kita masih berpandangan mereka tak pergi jauh dan bersembunyi dalam lingkungan di daerah itu.
“Mereka mungkin merancang untuk bergerak pada malam ini dan dalam kumpulan kecil. Jadi ketika ini pegawai dan anggota sedang giat mengesan kesemua tahanan di sekitar Bidor,” katanya.
Katanya, mereka yang melarikan diri terdiri daripada 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang Bangladesh.
Dalam perkembangan sama, Ruslin berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan penggunaan senjata bagi menghadapi sebarang risiko pada masa akan datang.
Ditanya sama ada rusuhan itu berlaku akibat kesesakan di depoh, Ruslin berkata, pihaknya menafikan perkara itu dan ia mengikut kapasiti tahanan ditetapkan.
Ketika ini, usaha mengesan saki baki tahanan yang masih lolos dengan kerjasama semua agensi keselamatan termasuk polis, Pasukan Gerakam Am (PGA) dan JIM membabitkan kekuatan 387 pegawai serta anggota. – UTUSAN










