GURUN: Identiti ketiga-tiga anggota tentera yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga trak askar dengan sebuah lori di Kilometer 77.5, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara pagi ini dikenal pasti.
Ketiga-tiga mereka yang meninggal dunia dalam nahas itu ialah Sarjan Razali Abdul Rani, 39; Koperal Mohd. Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd. Hafiz Haris, 30, yang bertugas di Kem 3, Rejimen Sempadan Pengkalan Hulu, Perak.
Masing-masing yang memandu tiga buah trak askar itu dalam perjalanan ke Kem 30 Briged, Perlis dan mereka dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala termasuk salah seorang turut parah pada badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kulim menghala Alor Setar dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh ketiga-tiga mangsa.
“Tiga buah trak askar telah berhenti di lorong kecemasan kerana salah satunya mengalami kerosakan. Ketiga-tiga mangsa dipercayai berada pada sisi kanan kenderaan yang rosak itu.
“Tiba-tiba lori terbabit telah melanggar belakang trak yang rosak dan pelanggaran menyebabkan lori itu berpusing ke kiri lalu melanggar pula bahagian belakang sebuah lagi trak yang berada di kedudukan tengah.
“Trak kedua yang dilanggar itu kemudian menggelongsor ke hadapan dan terlanggar belakang satu lagi trak askar yang berada di kedudukan paling hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan tiga anggota tentera maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.20 pagi ini.
Sementara itu, Zaidy memaklumkan, pemandu lori yang beralamat di Alor Setar itu pula mengalami patah kaki kiri selain cedera di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
“Mayat ketiga-tiga anggota tentera terbabit turut dihantar ke Unit Forensik, HSB untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -UTUSAN










