SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa semua pihak menghormati keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan berhubung pembatalan peruntukan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini.
Baginda bertitah, kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu didukungi dan dihormati oleh segenap lapisan rakyat Malaysia dengan mencari penyelesaian terhadap setiap isu yang timbul berbanding berterusan mencetuskan pertelingkahan.
Jelas baginda, umat Islam di negara ini terutama para ulama dan ilmuan perlu sentiasa memelihara adab dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbul kekeliruan dalam kalangan penganutnya.
“Dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Usaha itu termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan, bagi memastikan kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan ambiguity,” titah baginda ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Ke-71, hari ini.
Tegas Sultan Sharafuddin, rakyat tidak perlu berbalah secara terbuka dalam perkara yang boleh diselesaikan secara bermusyawarah dan tertutup dengan meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikannya secara ilmiah serta berhemah mengikut saluran betul.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.
Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukannya.
Dalam pada itu, Sultan Selangor yang juga Pengerusi MKI menegur semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan menjadikan isu dalam agama Islam sebagai modal pertelagahan yang tidak berkesudahan.
“Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini. Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam. Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama.
“Teguran Beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah Beta mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar jangan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ianya menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan,” tegasnya.
Katanya lagi, amalan melantik Menteri Agama dalam kalangan bukan ahli politik wajar diteruskan dalam memastikan isu berkaitan hal ehwal Islam tidak dijadikan bahan politik dan tumpuan sepenuhnya terhadap penyelesaian melibatkan isu agama dapat diselesaikan dengan baik.
“Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang Menteri Agama,” ujarnya. – UTUSAN










