PETALING JAYA: Harga tiket bas ekspres sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dijangka meningkat sebanyak 10 peratus.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, jangkaan kenaikan harga tersebut adalah bagi tiket bas jenis ekonomi.
Katanya, peningkatan itu adalah pertimbangan yang diberi kerajaan mengambil kira kos petrol dan penyelenggaraan bagi bas yang bergerak satu hala.
“Kalau sebelum raya, bas hantar orang dari bandar ke desa, kemudian kita patah balik ambil orang di bandar. Jadi masa pusing, bas kosong kerana penumpang tidak pulang ke bandar.
“Kenaikan 10 peratus itu adalah untuk menampung kos ketika bas perlu patah balik tanpa penumpang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Laili Ismail berkata, harga tiket bas bagi jenis ekonomi iaitu spesifikasi kerusi jenis dua campur dua adalah tertakluk kepada harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan dan kenaikan harga adalah berdasarkan kelulusan yang diberi.
Katanya, ia berbeza dengan pengiraan tambang tiket bas jenis eksekutif iaitu spesifikasi kerusi jenis dua campur satu kerana berkonsepkan harga lantai.
“Kalau untuk eksekutif ini, kerajaan tidak perlu beri kelulusan, pengusaha bas boleh naikkan sendiri. ia boleh jual sampai ke RM100 atau RM200 sebab tiada had siling,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, perkhidmatan bas ekspres masih kekal relevan walaupun mengalami peningkatan harga tambang selain penumpang perlu menghadap kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan. – UTUSAN










