KLUANG: Penganjur Bazar Ramadan diminta menurunkan bayaran tapak yang dikenakan supaya tidak membebankan para peniaga kerana dianggap terlalu tinggi berbanding tahun sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mendakwa, penganjur cuba mendapatkan keuntungan lebih tanpa memikirkan nasib para peniaga di bazar berkenaan.
Katanya, ketika rakyat sedang berjuang untuk mengatasi isu kos sara hidup yang tinggi pada ketika ini, penganjur khususnya pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Kluang (MPK) perlu memainkan peranan supaya peniaga tidak tersepit dengan bayaran tapak terlalu tinggi.
“Meletakkan harga tapak untuk menjual barang-barang kering (pakaian) sehingga RM8,800 bagi tempoh perniagaan sebulan dengan khemah adalah terlalu mahal, sedangkan MPK sebagai pemilik semua kemudahan di kawasan jualan.
“Sedangkan penganjuran sebelum ini dianjur oleh badan bukan kerajaan (NGO) hanya mengenakan kos RM4,200,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Sharifah Azizah, bayaran bagi bazar makanan juga terlalu tinggi, iaitu RM630 termasuk dua bayaran deposit yang dirasakan sebagai tidak perlu kerana membebankan peniaga.
Dakwanya, bayaran yang dikenakan bagi bazar yang dianjur oleh NGO sebelum ini hanya RM380 termasuk penyediaan khemah selain tiada bayaran deposit.
“Sebagai wakil rakyat, saya juga memohon jasa baik MPK untuk memansuhkan bayaran borang berharga RM30 untuk satu tapak, termasuk deposit yang ditetapkan terlalu membebankan peniaga,” katanya.
Menurutnya, tindakan menaikkan bayaran sewa tapak secara tidak langsung akan menyebabkan peniaga terpaksa menjual barangan mereka pada harga tinggi, sekali gus membebankan pelanggan. – UTUSAN










