SHAH ALAM: Kegiatan sindiket yang menjadikan sebuah gudang bagi mengedar dan memasarkan diesel secara borong di daerah ini tumpas apabila digempur pihak berkuasa malam tadi.
Serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Aman dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor itu membawa kepada rampasan mencecah RM700,000.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, pihaknya menerima kes serahan melibatkan aktiviti disyaki penyelewengan diesel bersubsidi itu kira-kira pukul 11.30 malam.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati gudang itu menjalankan urusan pemindahan dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa lesen sah.
“Beberapa peralatan seperti flow meter yang lengkap bersambung dengan hos penyedut cecair turut ditemukan dalam premis itu.
“Selain itu, beberapa ‘skid tank‘ yang berfungsi menyimpan bahan mudah terbakar seperti diesel, tong kosong dan lori tangki dirampas dalam serbuan berkenaan,” katanya, hari ini.
Menurut Mohd. Khairi, tiga lelaki tempatan yang berada di premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan awal mendapati dua daripada mereka dipercayai pemandu lori dan seorang lagi disyaki individu yang bertanggungjawab dalam aktiviti tersebut. Kesemua individu itu telah dirakaman percakapan bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, tujuh kertas siasatan dibuka bagi kes berkenaan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Selain tangki dan lori, beberapa dokumen perniagaan disita bagi siasatan lanjut.
“Nilai diesel subsidi yang berjaya diselamatkan dianggarkan mencecah RM500,000 dan semua sitaan disimpan di bawah kawalan pengurusan stor ekshibit KPDN Selangor,” jelasnya. – UTUSAN










