FASGET tarik minat anak muda toreh getah

FASGET tarik minat anak muda toreh getah

Sebagai anak peneroka Felda di Kota Tinggi, Johor, Manndzri Nasib memahami denyut nadi, kesusahan serta rintangan yang dihadapi golongan pekebun kecil getah. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBESAR sebagai anak peneroka Felda di Kota Tinggi, Johor Bahru, membuatkan sosok ini benar-benar memahami denyut nadi, kesusahan serta rintangan yang dihadapi golongan pekebun kecil getah sejak sekian lama.

Menyedari kelompok umur pekebun kecil rata-rata sudah berusia 58 tahun ke atas, Pengerusi baharu yang ke-21 Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Manndzri Nasib berkata, beliau tekad untuk memastikan kebun-kebun getah di negara ini terus diusahakan.

Untuk itu, jelasnya, Program Fasiliti Getah Matang atau FASGET diperkenal bagi memperkasakan infrastuktur pengeluaran hasil getah termasuklah melahirkan tenaga kerja pekebun kecil serta menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam industri perladangan getah secara konsisten.

 

Manndzri Nasib membawa pengurusan Risda mendengar masalah yang dihadapi oleh penoreh getah.

“Pelaksanaan program FASGET dijangka dapat memberi impak kepada pengeluaran hasil getah asli yang lebih baik disamping mewujudkan tenaga kerja tempatan terlatih dan mahir bagi menampung keperluan industri dengan menawarkan persekitaran kerja fleksibel dan upah yang menarik.

“Menerusi pembinaan pusat-pusat penjualan skrap dan lateks yang memerlukan kemahiran pengurusan daripada sudut kewangan, logistik dan operasi akan membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda untuk terlibat sepenuh masa dalam aktiviti produksi getah,” katanya semasa sesi wawancara di Ibu Pejabat Risda di Jalan Ampang, baru-baru ini.

SASARAN

Menerusi FASGET juga, beliau menyatakan Risda mensasarkan seramai 2,000 tenaga kerja muda akan dapat dilatih sepanjang tahun ini dengan pemberian pelbagai bentuk insentif serta galakan bagi mendepani cabaran tenaga kerja baharu pekebun kecil.

“Contohnya, kalau mereka mengeluarkan hasil lateks, insentif sebanyak RM300 sebulan disediakan selama 12 bulan.

“Ini juga adalah sebahagian daripada konsep Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor pekebun kecil getah. Mereka akan mempelajari aspek penanaman, pengurusan, pengendalian, penyimpanan sehingga pemasaran getah.

“Belia yang berminat dengan program ini akan dilatih dan akan mempunyai sijil kemahiran pengendalian getah yang dikeluarkan oleh Risda,” katanya.

CABARAN

Risda sebagai agensi kerajaan yang bernaung di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertanggungjawab secara khusus untuk menggalakkan penanaman semula dan tanam baharu getah serta memastikan peningkatan kesejahteraan pekebun kecil.

Secara amnya, beliau berkata, pekebun kecil getah merupakan sebahagian daripada lebih lapan juta penduduk luar bandar iaitu sekitar 2.7 juta ahli isi rumah yang bernaung di bawah Risda.

Risda mahu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan mempelbagai sumber ekonomi mereka.

“Ketika ini, Risda menguruskan seramai 552,543 pekebun kecil dengan purata keluasan tanah di bawah dua hektar seperti di seluruh negara.

“Walaupun rata-rata penoreh getah merupakan warga emas, namun mereka masih berupaya menyumbang sebanyak 85.3 peratus pengeluaran getah asli berbanding sektor estet pada 14.7 peratus.

“Peratusan ini menunjukkan betapa pentingnya pengukuhan kepada sektor pekebun kecil getah yang berterusan demi menyokong dan memperkuatkan struktur ekonomi negara pada masa hadapan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Manndzri tidak menafikan terdapat cabaran utama dan rintangan berulang yang membelenggu pekebun kecil. Antara cabaran yang dikenal pasti, katanya, adalah ketidakstabilan harga getah, persaingan pengeluaran getah sintetik, persaingan tanaman komoditi lain, aplikasi teknologi baharu, penyesuaian tanah dengan klon atau benih, serangan penyakit serta perubahan cuaca.

“Semua faktor itu boleh mengundang kepada penghasilan kebun getah tidak ekonomik dan berproduktiviti rendah.

“Bagaimanapun, Risda mengambil beberapa inisiatif terhadap cabaran ketidaktentuan harga getah. Program tanam semula getah ketika ini menawarkan bantuan berjumlah RM13,710/hektar di Semenanjung, RM14,805/hektar di Sarawak dan RM14,955/hektar di Sabah.

“Bantuan ini secara umumnya, termasuk pemberian anggaran sebanyak 150 beg baja, 509 anak benih dan penyelenggaraan kebun menerusi lima kali ansuran bantuan sehingga pokok ditoreh bagi setiap hektar yang diusahakan.

“Kepada individu yang mempunyai tanah milik sendiri serta berminat dengan pelbagai manfaat dan bantuan yang ditawarkan oleh Risda, saya amat mengalu-alukan penyertaan semua untuk menjadi sebahagian daripada warga pekebun kecil getah.

“Bagi mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat yang tepat mengenai program tanam semula getah Risda dan pelbagai variasi bantuan, anda boleh menghubungi dan mengunjungi pejabat Risda yang berhampiran atau melayari laman web rasmi www.risda.gov.my,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN