KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneliti model konsolidasi atau penyatuan pekebun-pekebun kecil mengikut kluster iaitu 500 hingga 1,000 hektar (ha) setiap kluster.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha tersebut bagi meningkatkan kapasiti, mengurangkan kos, melibatkan ketiga-tiga tahap dalam rantaian industri getah iaitu huluan, mindstream dan hiliran.
Selain itu, kata beliau, model tersebut turut dipercayai akan dapat menarik minat penoreh melalui pendapatan yang tetap dan stabil.
“Cadangan kluster ini dijangka dilaksanakan di tiga negeri yang mempunyai tumpuan kawasan tidak bertoreh yang tinggi iaitu Kelantan (34,621 hektar), Kedah (24,058 hektar) dan Pahang (19,481 hektar).
“Melalui konsep kluster, rantaian pemasaran dapat dipendekkan di mana kilang pemprosesan getah membeli getah secara terus daripada kluster pekebun kecil yang dibentuk dan seterusnya memberikan harga yang lebih menguntungkan pekebun kecil,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta kementerian menyatakan perancangan untuk meningkatkan jumlah kebun dan estet yang ditoreh serta pelan jangka pendek dan panjang bagi meningkatkan produktiviti getah seterusnya membantu penoreh memperoleh pendapatan lebih tinggi
Johari berkata, pengeluaran getah asli harus dipertingkatkan sekiranya ingin memperkasakan industri getah tempatan.
“Daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di Malaysia, 93 peratus terdiri daripada pekebun kecil dan tujuh peratus estet. Sebanyak 217,000 pekebun kecil terlibat dalam pengeluaran getah asli di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia pada 2023 menjadi net importer bagi getah asli berbanding dahulu negara merupakan salah satu pengeluar utama bahan tersebut di dunia.
“Malaysia menghasilkan 348,000 tan metrik getah asli (2022: 377,000 tan metrik). Kita mengimport 1 juta tan metrik (2022: 1.16 juta tan metrik) getah asli bernilai RM5.7 bilion (2022: RM7.2 bilion.)
“Kita ambil maklum 420,000 hektar tanaman getah yang sudah matang tetapi tidak ditoreh. Ini berpunca daripada dua faktor iaitu kekurangan penoreh dan harga getah yang rendah,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan kini tidak bercadang untuk meningkatkan keluasan kebun.
“Sebaliknya kita ingin menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan pengeluaran getah asli daripada pokok-pokok getah sedia ada dengan memperkenalkan dasar untuk menggalakkan lebih ramai penoreh,” katanya. – UTUSAN










