NARATHIWAT (THAILAND): Bah air merah yang melanda daerah Sukhirin hujung tahun lalu sehingga meragut nyawa dan merosakkan harta benda masih menghantui penduduk di kawasan tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk masih lagi bercakap perihal bah air merah itu yang disifatkan sebagai tragedi paling buruk sepanjang hidup mereka.
Berkongsi semula detik ngeri itu, Yarodah Setapa, 50, dari Kampung Kelubi, berkata, dia tidak pernah berdepan bencana banjir buruk yang menyebabkan banyak rumah rosak dan dihanyutkan arus deras.
Menurutnya, hujan berterusan selama tiga hari menyebabkan lebih 30 buah rumah di Kampung Kelubi yang tidak pernah dilanda bah ditenggelami air, manakala kira-kira 20 buah rumah di Kampung Pari rosak serta hanyut.
“Paras air Sungai Saiburi yang naik mendadak menyebabkan kebanyakan barangan termasuk kereta dan perabot tidak sempat dipindahkan ke tempat yang selamat.
“Sepanjang hidup ini lah bencana banjir paling buruk kerana berlaku banyak tanah runtuh yang membawa sisa lumpur ke dalam rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Yarodah berkata, dia bersama suaminya terpaksa berpindah dan tinggal di masjid berhampiran selepas rumahnya ditenggelami banjir.
Katanya, banjir kali ini paling teruk apabila dia terpaksa mengambil masa lebih 10 hari untuk membersihkan peralatan rumah yang ditenggelami banjir.
Seorang lagi penduduk, Paiso Deris, 70, memberitahu, kebanyakan mangsa banjir yang bekerja sebagai buruh kampung dan pekebun terpaksa membina atau membaiki semula rumah mereka yang rosak.
“Ketika ini mangsa banjir yang kehilangan rumah terpaksa menumpang di rumah saudara dan menyewa rumah lain.
“Kami bersyukur serta berterima kasih apabila ramai orang Malaysia yang bersimpati dengan nasib kami datang menghulurkan bantuan seperti makanan, pakaian dan barangan keperluan harian untuk kami meneruskan hidup,” ujarnya.
Media Thailand sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya enam orang maut dan hampir 70,000 isi rumah terjejas berikutan banjir melibatkan 32 daerah di lima wilayah di selatan Thailand. – UTUSAN










