BALING: Cuaca panas akibat El Nino yang melanda negara termasuk di Kedah ketika ini menyebabkan sebuah premis makan dalam sungai, Kafe Rimba Kuala Kedua di sini menjadi tumpuan ramai sejak cuti Tahun Baharu Cina lepas.
Menurut pemiliknya, Sharifah Aini Maulan, 45, kafe yang dibuka sejak 2019 itu menerima kehadiran pelanggan dua kali ganda berbanding sebelum ini.
“Sejak cuaca panas ini kafe kami menerima kedatangan luar biasa terutama ketika cuti Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah iaitu sehingga 500 pelanggan sehari berbanding 200 pelanggan sebelum ini.
“Konsep kafe ini adalah sambil menjamu selera pelanggan dapat menghirup udara segar yang semestinya memberi ketenangan. Datang makan di sini tidak perlu pakai baju cantik-cantik memang akan basah sebab kita duduk makan dalam sungai.
“Ada yang datang berkeluarga bawa anak kecil sambil makan anak boleh mandi tak perlu bimbang air paras betis sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, menu masakan makanan Melayu ala kampung serta ulam-ulaman bersama pelbagai sambal menjadi pilihan di kafe itu.
“Menu hidangan yang popular ialah gulai daging batang pisang, masak lemak ikan baung, masak lemak udang galah, ikan siakap bakar, lengkap dengan ulaman, sambal belacan dan air asam sebagai pelengkap rasa.
“Malah paling membuka selera, ikan pekasam pun ada. Mesti tak toleh kiri kanan rasanya kalau makan dekat sini,” ujarnya yang mengusahakan kafe itu bersama suami Khalid Zulkifli, 48.
Menurutnya, dalam berdepan dengan cuaca tidak menentu pihaknya tetap mengambil sikap berjaga-jaga terutama ketika cuaca buruk melanda.
“Bagi menjamin keselamatan pengunjung kami akan mengeluarkan amaran untuk naik ke darat jika terlihat awan bertukar gelap di bahagian hulu,” jelasnya.
Katanya, kafe tersebut beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu menurut seorang pengunjung, Noor Azlina Muhammad Sobri, 30, sebaik sahaja melangkah ke dalam air terasa ketenangan dan kedinginan suasana kafe berkenaan walaupun cuaca panas ketika ini.
“Makan di sini merupakan satu cabaran baharu kerana ketika sedang enak suap nasi ada ikan berenang mengelilingi kaki.
“Tenang tempat macam ini, boleh makan atas air. Makanan pun sedap tambah pula bawa anak-anak datang sini sambil kita makan boleh anak-anak mandi,” katanya. – UTUSAN









