TENOM: Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa pendakwah Ebit Lew menunjukkan kemaluannya semasa membuat panggilan video.
Pengadu yang juga saksi kesembilan dalam kes gangguan seksual membabitkan pendakwah berkenaan memberitahu, Ebit menunjukkan kemaluannya beberapa kali semasa membuat panggilan video iaitu pada 29 Mac 2021 serta pada April dan Mei iaitu semasa bulan Ramadan.
“Pada 29 Mac, dia (Ebit) perlihatkan kemaluan beliau pada masa itu dan saya sempat membuat tangkap layar untuk diberikan kepada suami sebab masa mula-mula Ebit berikan gambar kemaluan, suami tidak percaya.
“Selang beberapa hari, saya berjaya meyakinkan suami bahawa itu adalah Ebit kerana gambar yang dia muat naik semasa berada di Afrika menggunakan kain pelikat yang sama berwarna merah tua (maroon).
“Selepas memberitahu suami, saya hendak mengambil tindakan tapi suami menghalang kerana ‘kami bukan siapa-siapa’.
“Kemudian, apabila saya be-ritahu Ebit apa yang suami saya perkatakan, Ebit meminta maaf namun, dia tetap Whatsapp saya selang beberapa minggu,” katanya dalam sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Pada April dan Mei, semasa dia menyambut panggilan video daripada Ebit, tertuduh sekali lagi menunjukkan kemaluannya. Malah, Ebit turut memarahinya melalui aplikasi Whatsapp kerana pengadu enggan memberi gambarnya kepada tertuduh.
Sebelum itu, pengadu memberitahu mahkamah dia meng-hubungi Ebit melalui aplikasi Instagram sebelum Ebit memintanya memberi nombor telefon kemudian menghubunginya melalui WhatsApp.
Dalam keterangannya, pengadu memaklumkan Ebit turut memberitahu, isterinya tidak dapat melayan kehendak seks dia yang terlalu tinggi. Jadi, pengadu sempat menasihati Ebit namun tidak diendahkan.
Malah, pengadu turut menyekat nombor telefon Ebit pada bulan April kerana tidak tahan dengan gangguan seksual yang dihadapi. Tapi, apabila Ebit mengganggunya melalui Instagram maka, pengadu terpaksa menyahsekat nombor Ebit.
Saksi kesembilan itu memberitahu Ebit turut menyatakan dia comel dan manja. Malah, ketika berada di Mesir, Ebit membuat panggilan dan menyatakan dia rindu terhadap pengadu.
Walau bagaimanapun, pengadu memberitahu dia mempunyai suami dan anak begitu juga dengan Ebit yang mempunyai isteri dan keluarga.
“Justeru, Ebit marah dan menyatakan dia adalah Ebit Lew kenapa tidak mahu dengan dia. Dia ada banyak rumah dan saya boleh pilih dimana (rumah) saya mahu.
“Seterusnya Ebit turut menyuruh suami saya mengambil isterinya manakala, saya pula ikut dia (Ebit). Namun, saya katakan tidak akan sebab saya sudah cukup dengan apa yang ada. Saya tidak perlukan apa-apa daripada Ebit Lew.
“Malah, dalam Whatsapp juga Ebit ada menyatakan untuk bertukar suami dan isteri,” katanya.
Memandangkan Ebit masih tidak berubah dan kerap membuat panggila video dan menghantar pesanan Whatsapp maka, pengadu sekali lagi menyekat nombor telefon Ebit pada Julai 2021.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. – UTUSAN










