SIPITANG: Dua remaja maut manakala, tiga lagi mengalami kecederaan apabila kenderaan dinaiki terbabas semasa memecut laju apabila menyedari kenderaan Proton Saga mereka diekori kenderaan peronda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Jeti SFI Sipitang, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.08 petang itu, dua mangsa yang berusia 14 dan 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian setelah kenderaan dinaiki lima mangsa terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar sebatang pokok tumbang.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superitendan Mail Sundogi berkata, dua mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu lelaki warga tempatan berusia 19 tahun dikenali sebagai Mohd. Khairul Abdullah dan seorang penumpang wanita iaitu Norsiah @ Bibi Faizal berusia 14 tahun.
Beliau berkata, dua mangsa lain yang merupakan dua beradik mengalami cedera parah manakala, seorang lagi mangsa mengalami cedera ringan. Ketiga-tiga mangsa yang cedera berbangsa Bajau Suluk dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Katanya, dua mangsa yang mengalami cedera parah adalah Amirin Enggu berusia lapan tahun mengalami pendarahan di bahagian kepala manakala, kakaknya Ayudia Enggu,17, mengalami pendarahan di kepala, lelangit tercucuk, patah rahang gigi dan patah kedua-dua belah tulang pinggul.
Mangsa yang mengalami cedera ringgan dikenali sebagai Manisa Sam berusia 16 tahun.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan daripada anggota JPJ mengenai kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang dinaiki lima mangsa.
“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki lima mangsa daripada Speedmart 99 Merintam hendak balik ke Kampung Sibubu di Jalan SFI.
“Semasa kenderaan mangsa dalam perjalanan balik, sebuah kenderaan JPJ yang sedang bertugas melakukan rondaan mengekori kenderaan mangsa daripada belakang dan memasang ‘beacon light’.
“Apabila pemandu Proton Saga menyedari kenderaan JPJ berada di belakang, pemandu kenderaan memecut laju dan apabila sampai di jalan selekoh menuruni bukit, kenderaan mangsa hilang kawalan hingga menyebabkannya terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar sebatang pokok yang tumbang di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, mangsa dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sipitang menggunakan ambulans.
Jelas beliau, pemandu tidak disyaki mabuk namun sampel darah diambil untuk ujian alkohol dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN










