Dua mayat mangsa pesawat terhempas tertimbus dua meter

Dua mayat mangsa pesawat terhempas tertimbus dua meter

Pesawat terhempas
PASUKAN penyelamat memeriksa bangkai sebuah pesawat ringan yang terhempas dalam ladang kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar di Klang, Selangor, semalam. - AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis mengesahkan penemuan dua mayat mangsa yang terbunuh dalam nahas sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini semalam.

Mangsa disahkan dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 dan 40-an masing-masing juruterbang serta pembantu juruterbang pesawat model BK 160 Gabriel tersebut.

Kedua-dua mayat itu dipercayai ditemukan tertimbus sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat berkenaan, kira-kira pukul 2 petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi mengeluarkan mayat mangsa kini masih giat dijalankan di lokasi berkenaan.

Jelas beliau, keadaan mayat itu bagaimanapun belum dikenalpasti namun dipercayai masih sempurna atau ‘intact’.

“Kita menjangkakan kedua-dua mayat mangsa akan dibawa keluar pada malam ini. Mayat akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi bedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Hussein, pihaknya menerima maklumat mengenai nahas menimpa mangsa yang berasal dari Johor dan Pulau Pinang itu, kira-kira pukul 1.45 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan oleh sepasukan 150 anggota polis, bomba dan agensi berkaitan. Usaha mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran kerana perlu mengorek tanah di bangkai pesawat itu,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan lanjut nahas itu akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Polis juga akan membuka siasatan mengikut kertas inkuiri polis dan kematian mengejut (SDR). Nahas itu tidak melibatkan mangsa lain atau penduduk kampung tersebut,” katanya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebuah jengkaut dan dua dron turut digunakan bagi memantau dan membantu siasatan di lokasi kejadian.

Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor juga dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN