Daya ingatan terbatas, Dharma Harun Rashid terpaksa perlahankan kerjaya - Utusan Malaysia

Daya ingatan terbatas, Dharma Harun Rashid terpaksa perlahankan kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Dharma Harun Rashid, 66, kini terpaksa memperlahankan kerjaya lakonannya akibat masalah lemah daya ingatan selepas diserang angin ahmar kira-kira 10 tahun lalu.

Pelakon yang popular menerusi filem Adik Manja itu juga mengakui dia tidak lagi mampu bekerja untuk tempoh yang lama disebabkan faktor usianya yang kini mencecah 66 tahun.

“Pengarah Yusof Haslam dan Richard Ung pernah menawarkan saya berlakon. Namun saya terpaksa tolak disebabkan pergerakan serta daya ingatan saya sudah terbatas.

“Kini saya banyak bergantung kepada anak lelaki saya yang membantu menjelaskan sesuatu perkara kepada individu lain sekiranya saya berdepan kesukaran bercakap.

“Meskipun keadaan begini, saya masih boleh berlakon. Cuma bukan untuk tempoh masa lama kerana sakit pinggang yang sering menyerang,” katanya.

Pelakon itu ditemui selepas program Ziarah Madani yang diketuai Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan Fauzi di kediaman pelakon itu, semalam.

Dharma yang juga seorang pengarah pada masa sama akur dengan nasihat doktor yang menyarankan dia melakukan ‘senaman minda’ untuk menguatkan daya ingatannya.

“Saya perlu banyak menonton televisyen dan video untuk menguatkan semula memori sekaligus melancarkan kembali pertuturan saya.

“Selain itu doktor juga mnyarankan saya agar saya tidak meninggalkan rawatan fisioterapi yang perlu dilakukan tiga bulan sekali,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×