KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan memeterai perjanjian dan menerima bayaran RM100,000 tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat, tujuh tahun lalu.
Jalil Siam, 62, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.
OKS didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat Ghaz Properties Sdn. Bhd. dengan memeterai ‘Joint Venture Agreement’ bagi pihak syarikat dengan Mash Construction Engineering Services Sdn. Bhd. tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat untuk mendapatkan manfaat peribadi secara langsung.
Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menggunakan harta Ghaz Properties bagi manfaat sendiri dengan menerima wang melalui 20 transaksi deposit tunai berjumlah RM98,950 ke akaun dan pindahan dana RM1,050 ke Maybank miliknya setelah memeterai perjanjian berkenaan bertarikh 8 Mei 2017.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 8 Mei dan 14 Julai 2017 di pejabat operasi Ghaz Properties di Platinum Walk, Setapak di sini.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 218(1)(a) dan (c) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd. Iqbal Mohd. Yusoff memohon bagi ketiga-tiga pertuduhan dibicarakan bersama, dengan menghujahkan bahawa pihak-pihak seperti dalam pertuduhan melibatkan fakta dan transaksi yang sama.
Mendengar perkara itu, peguam Pramod Nambiar tidak membantah cadangan terbabit. Mahkamah menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan kes. – UTUSAN










