DAP sedia isytihar harta

DAP sedia isytihar harta

Teo Nie Ching
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Para pemimpin DAP bersedia mengisytiharkan harta jika terdapat keperluan mewajibkan berbuat demikian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Publisiti Kebangsaan parti itu, Teo Nie Ching berkata, meskipun pengisytiharan harta itu tiada dalam polisi DAP, pihaknya tiada masalah untuk melaksanakan perkara tersebut.

Malah, katanya, pihaknya akan akur jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pemimpin membuat pengisytiharan harta.

“Kita tidak wajibkan calon untuk buat pengisytiharan harta, tetapi pada tahun 2018 dan 2019, kami pernah buat sekali mengikut kepada dasar yang kerajaan tetapkan pada waktu itu.

“Jadi, kalau kalau dasar kerajaan sekarang mahu semua ahli Parlimen isytihar harta, kami akan tunggu arahan dari Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji ketika dihubungi berkata, beliau tidak berpandangan pengisytiharan harta adalah satu ‘masalah’ buat DAP, kerana perkara itu pernah dilakukan susulan terdapat beberapa pihak yang menuntutnya.

“Secara peribadi semasa saya Timbalan Menteri zaman pentadbiran Pakatan Harapan sudah mengisytihar harta saya yang diminta oleh kerajaan ketika itu. Semasa saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang pun, pihak kerajaan negeri ada meminta mengisytiharkan harta, saya patuhi arahan tersebut.

“Saya rasa untuk kami ahli DAP untuk mengisytihar harta itu tiada masalah,” ujarnya.

Untuk rekod, pada November 2022, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu tidak menetapkan dasar untuk calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengisytiharkan harta mereka.

Katanya, mereka berbuat demikian sekiranya dipilih mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet jika PH menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN