PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan empat kawasan di negeri Kedah berada pada status cuaca panas tahap satu iaitu pada langkah berjaga-jaga.
Menurut laporan MetMalaysia yang dikeluarkan pada petang semalam, kawasan terbabit ialah Pulau Langkawi, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Yan.
Kawasan-kawasan berkenaan berada pada suhu maksimum harian iaitu 35 darjah celsius.
Namun, MetMalaysia menjangka suhu bagi kawasan yang berada status cuaca panas tahap satu itu boleh meningkat kepada 37 darjah celcius.
Dalam pada itu, keadaan suhu panas pada tahap tersebut dijangka mampu berlarutan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Justeru itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk mengawal aktiviti luar ketika suhu mencecah lebih daripada 34 darjah celsius, bagi mengelak berlaku serangan strok haba dan kemudaratan kepada kesihatan.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengekalkan hidrasi tubuh badan dengan meminum air secukupnya bagi mengeimbangkan suhu badan,” katanya.
Sementara itu, negeri-negeri lain dalam negara masih mencatatkan status cuaca panas pada suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah celsius.
Sebelum ini, MetMalaysia menjangkakan suhu maksimum harian di negara ini boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat susulan cuaca panas yang bermula Februari hingga Mei nanti.
Keadaan disebabkan susulan fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga bulan Mac nanti.
Kebiasaan dalam tempoh tersebut, negara bakal mengalami taburan hujan yang sedikit dan hampir ketiadaan hujan bagi kebanyakkan tempat. – UTUSAN










