CRV hilang kawalan punca kemalangan empat kenderaan - Utusan Malaysia

CRV hilang kawalan punca kemalangan empat kenderaan

CRV
EMPAT kenderaan terlibat dalam kemalangan dekat Persiaran Mokhtar Dahari di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kereta jenis Honda CRV dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan terbabas didakwa menjadi punca kemalangan melibatkan empat kenderaan dekat Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal polis mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dari arah Shah Alam terbabas sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Bezza dari arah Puncak Alam.

“Akibat kejadian ini, motokar jenis Perodua Axia terpaksa mengelak ke kiri lalu dilanggar oleh motosikal jenis Honda Wave dari arah belakang.

“Mangsa pemandu SUV jenis Honda CRV dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan. Manakala mangsa pemandu dan penumpang motokar jenis Perodua Bezza pula di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah insiden disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Sarjan Riduwan bin Hamidi di talian 011-26928229.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tujuh termasuk seorang bayi dan seorang kanak-kanak nyaris maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.06 pagi sebelum mengerahkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik ke tempat kejadian.

“Pemandu Perodua Bezza seorang lelaki berusia 30-an tersepit di bahagian pemandu dan bomba berjaya mengeluarkannya. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian paha kanan dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan.

“Enam mangsa lain iaitu dua lelaki dan dua wanita serta seorang bayi lelaki berusia empat bulan dan kanak-kanak perempuan berumur dua tahun hanya mengalami cedera ringan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN