MELAKA: Kementerian Perpaduan Negara merancang 11 program Citra Nusa di seluruh negara tahun ini untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan masyarakat.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia termasuklah Festival Hari Muzium Antarabangsa, Citra Nusa@Muzim Arkeologi Lembah Bujang, Persidangan Antarabangsa: Ketamadunan Lembah Bujang dari Perspektif Yi-Jing (I-Thing) Abad Ke-7, Program Bermalam di Muzium dan Citra Nusa@Indonesia.
Kata beliau, program yang memasuki tahun kedua itu memperkasakan peranan muzium sebagai penjaga warisan yang mengumpul, memelihara serta melestarikan koleksi sejarah, warisan, seni dan budaya.
“Selain itu, ia juga selain sebagai satu daripada wadah untuk integrasi perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya selepas mengadakan sesi jelajah mesra sempena Citra Nusa@Melaka anjuran bersama Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Institut Seni dan Warisan Melaka di sini, semalam.
Tambah Aaron, Program Bermalam di Muzium merupakan program tradisi JMM yang telah dilaksanakan sejak 2007 dan diteruskan setiap tahun melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara.
Menurutnya, pada tahun ini program tersebut akan melibatkan kumpulan belia sehingga umur 30 tahun.
“JMM mensasarkan seramai dua juta pelawat melalui pelbagai program yang diadakan di seluruh negara. Program ini diharap dapat memupuk pemahaman dan kesedaran masyarakat terhadap kepelbagaian warisan sejarah dan budaya yang perlu dihargai dan dipertahankan sebagai identiti nasional yang diwarisi bersama,” ujarnya. – UTUSAN










