KUALA LUMPUR: Jika ada yang beranggapan sistem menghargai ejen itu sudah tidak relevan dalam dunia niaga, hal itu sebaliknya ditepis kuat oleh ahli perniagaan popular, Said Saiful Fazli.
Said yang menjalankan empayar syarikat Saudagaar Asia (S-Asia) menerusi jenama produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin, ChocoAlbab tegas dengan pendiriannya yang melihat kelompok ejennya sebagai harta berharga.
Said berkata, melihat kejayaan ahli perniagaan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang mencipta fenomena dengan menjaga hati pelanggan juga telah menjadi inspirasi buatnya.
“Kalau ada menganggap sistem ejen sudah tak relevan, mereka itu barangkali tidak berfikir panjang dalam berkata-kata. Tak apa, itu cara orang lain. Tapi saya tetap melihat ejen sebagai lubuk penting dunia niaga.
“Jadi tradisi menghargai ejen melancong sebagai penyuntik semangat tetap diteruskan. Setiap tahun lebih empat kali kita raikan ejen dengan bercuti sebagai terapi diri.
“Khairul Aming boleh curi perhatian pelanggan setianya, biar saya jaga kemas hati ejen,” katanya.
Terdahulu jenama ini antara yang kerap membakar semangat ejen dengan bawa mereka makan angin dalam dan luar negara.
Antara lokasi yang pernah dijejaki merai ejen termasuk Singapura, Dubai dan Club Med Cherating.
Terbaharu, seramai 130 ejen termasuk staf syarikat ini dibawa ke Pulau Langkawi selama tiga hari dua malam awal Februari lalu.
“Menariknya, kami memenuhi satu penerbangan ke sana. Mungkin ada yang memandang rendah, setakat pergi Langkawi sahaja. Tak kisahlah, dalam atau luar negara, momen dicipta itu sangat istimewa.
“Tapi saya dimaklumkan ramai ejen yang dirai kali ini tak pernah berkunjung ke pulau yang mengangkat lagenda Mahsuri ini.
“Jadi saya tumpang gembira dengan kunjungan sulung hampir kebanyakan ejen kali ini. Seperti mana takkan hilang jejak sejarah seperti Mahsuri di Langkawi, sebegitu juga saya mahu jenama ChocoAlbab terus beraja di hati ejen dan peminat,” katanya.
Dalam pada itu, Said bersyukur jenama yang diperkenal sejak April 2021 itu juga terus diterima ramai.
“Syukur, masuk kedai serbaneka dan premis makanan, banyak produk kami ada dijual di kaunter. Pendek kata, produk ini boleh didapati dengan mudah di hampir semua kedai berhampiran anda.
“Kami guna sistem ‘reseller’ dan ia sekali gus membantu ramai usahawan menjana pendapatan,” katanya.