KUBANG PASU: Tindakan 30 warga asing Thailand dan Kemboja cuba memasuki negara ini tanpa mengemukakan dokumen perjalanan sah membawa padah apabila ditahan Imigresen berhampiran pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, di sini kelmarin.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, penahanan dibuat setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 10 kenderaan antaranya jenis pikap, kereta sedan dan motosikal dengan nombor pendaftaran Thailand di lokasi tersebut.
“Kita menahan 30 warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan 20 wanita kerana melanggar peraturan imigresen seperti tidak memiliki cop pengesahan kemasukan sah serta tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia.
“Seramai 18 daripada mereka mempunyai pas sah, manakala 12 lagi tidak mempunyai cop kemasukan yang sah pada dokumen perjalanan mereka,” katanya semalam.
Mohd. Ridzzuan berkata, pihaknya mengeluarkan Notis Penolakan Masuk kepada 12 warga Thailand dan seorang Kemboja selepas tidak memenuhi syarat kemasukan termasuk berkaitan bukti tempahan penginapan.
Menurutnya, semasa operasi itu, terdapat dalam kalangan warga asing terbabit memberi alasan sedang mencari jalan untuk berpatah balik ke negara mereka selain mencari kaunter pertanyaan.
“Walau apa sahaja alasan diberikan, kita akan menahan mereka untuk siasatan lanjut. Bagi kesalahan tiada cop kemasukan ke Malaysia, ia luar biasa dan merupakan ketidakpatuhan yang besar dalam konteks pengurusan imigresen dan sempadan,” katanya. – UTUSAN











