IPOH: Seorang buruh kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuannya yang berusia lima tahun, Isnin lalu.
Tertuduh, Muhamad Firdaus Hassan, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia lima tahun di sebuah rumah di Persiaran Klebang Selatan 7, Taman Bertuah Ipoh, dalam daerah Kinta pada pukul 8 malam, 5 Februari 2024.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haiqal Asyraf Suhaimi mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan minimum atas alasan memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan dan mempunyai tanggungan isteri dan dua anak.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac 2024.
Tangkapan terhadap tertuduh dibuat susulan laporan polis oleh guru tadika kanak-kanak terbabit selepas mendapati terdapat kesan lebam atau birat seperti dirotan di lengan tangan kanan mangsa.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh pengadu untuk rawatan, di mana doktor yang merawatnya memaklumkan kanak-kanan itu mungkin mengalami trauma.
Difahamkan, kecederaan di tempat sama itu merupakan kali ketiga dilihat pengadu. – UTUSAN










