Buruh ditangkap khalwat kali kedua disebat - Utusan Malaysia

Buruh ditangkap khalwat kali kedua disebat

MOHD. Affandi Awang (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini..- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh binaan menjadi individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman sebat setelah disabitkan kesalahan berkhalwat di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang baharu dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Mohd. Affandi Awang, 42, dari Kemasik, Kemaman dijatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini, hari ini.

Hukuman tersebut dikenakan ke atas tertuduh kerana melakukan kesalahan khalwat kali kedua.

Buruh tersebut pernah disabitkan kesalahan khalwat di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2001 pada 11 Julai 2023 dan dihukum denda RM2,700 atau tiga bulan penjara.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Hamidi Shafie selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut seksyen tersebut selepas pindaan

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di tingkat tiga, sebuah premis beralamat di Jalan Penghiburan, Kemaman, pada 25 Januari lalu, lebih kurang pukul 1.10 pagi.

Mengikut fakta kes, buruh tersebut bersama seorang perempuan berusia dalam lingkungan 30an berada di dalam bangunan kosong yang sedang dalam proses baik pulih.

Hasil soal siasat didapati pasangan tersebut tiada hubungan suami isteri dan mahram.

Pendakwaan tersebut dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhamad Khasmizan Abdullah manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN