JOHOR BAHRU: Empat sungai di Pasir Gudang yang dikesan tercemar pada tahap tiga dan empat dipercayai bukan disebabkan aktiviti pencemaran baharu yang dilakukan oleh pihak industri di kawasan tersebut.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, kebanyakan pihak industri di kawasan terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan dan pihaknya tidak mengesan pelepasan efluen tercemar dari kilang-kilang.
Bagaimanapun, pihaknya tidak boleh leka dan perlu menjalankan penguatkuasaan secara berkala supaya aktiviti pencemaran tidak terlepas pandang.
“Kita memang ada teknik dan cara sendiri, jika betul ada pelepasan bahan tercemar ke dalam sungai, kita boleh kesan dari mana puncanya.
“Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan yang diadakan setakat ini, kita dapati aktiviti di kawasan perindustrian ini terkawal. Kita juga tidak mengesan sesuatu yang luar biasa, jika ada kita akan ambil tindakan tegas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan empat sungai di sekitar Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dikesan dalam keadaan tercemar dan berada dalam tahap yang membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, empat sungai tersebut ialah Sungai Tukang Batu, Sungai Perembi, Sungai Buluh dan Sungai Kim Kim.
Mengulas lanjut, Dr. Famey berkata, JAS akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan, khususnya membabitkan kilang yang berpotensi dan berisiko tinggi membuat pencemaran.
Katanya, JAS Cawangan Pasir Gudang diwujudkan untuk memantau keadaan dan perkembangan semasa aktiviti industri di kawasan perindustrian itu.
“Disebabkan pengawasan berkala yang dilakukan, kita lihat punca (pencemaran) yang masuk ke dalam sungai itu sudah kita kawal dan berkurangan.
“Jadi, kita harap sungai yang tercemar ini akan ambil sedikit masa untuk self cleaning. Oleh itu, kita akan pastikan tidak ada pencemaran baharu yang berlaku,” katanya. – UTUSAN











