Budi pekerti: Dalam hidup yang bising cubalah berbaring - Utusan Malaysia

Budi pekerti: Dalam hidup yang bising cubalah berbaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI SUATU petang, selepas habis jam kerja, saya melihat-lihat jadual filem yang sedang tayang di panggung. Ketika itu, saya terpandang judul Budi Pekerti. 

Sebuah judul yang entah kenapa terasa mesra, mungkin saya ada terbaca tentangnya di mana-mana ketika sedang menatal media sosial. 

Saya menonton Budi Pekerti dengan tiga penonton lain. Hanya kami berempat di dalam panggung yang besar itu. 

Sejujurnya, saya tidak pernah langsung menonton atau mendengar nama sutradaranya, Wregas Bhanuteja. Budi Pekerti boleh dikatakan pengenalan pertama saya dengan naskhah hasil tangannya. 

Sedikit konteks, Budi Pekerti menceritakan tentang sebuah keluarga, Bu Prani, seorang guru yang ingin naik pangkat. 

Suaminya, Pak Dadit pengidap bipolar serta dua anaknya Tita dan Muklas, ialah pempengaruh media sosial. 

Suatu hari ketika sedang membeli putu kelapa, Bu Prani memarahi seorang pembeli yang memotong gilirannya. 

Aksi kemarahan itu dirakam, dimuat naik di media sosial sehingga tular. Memandangkan video itu hanya dirakam selama 30 saat, maka terjadilah salah faham sehingga mengubah kehidupan semua ahli keluarga Bu Prani. 

Saya tidak pernah mengatakan sebegini sebelum ini. Tapi Budi Pekerti adalah naskhah yang rencam, kritis, indah dan menyentuh pada masa sama. 

Inti perbahasan filem ini sangat penting, tentang sebuah distopia, kecanggungan, kedinginan yang muncul dalam kecanggihan. 

Semuanya disampaikan dengan persembahan layar dan kekemasan plot yang hampir sempurna. 

Budi Pekerti adalah filem yang sangat kita perlukan hari ini. Filem ini memberikan banyak metode matrik dalam syot yang semestinya meminta saya bertekateki, menafsir falsafah di setiap adegan yang muncul di layar. 

Saya berikan contoh, terutama ketika Muklas, lakonan sangat cemerlang Angga Yunanda meminta ibunya berlakon, bersolek lebih cantik hanya untuk video yang akan dimuat naik di media sosial. 

Betul-betul selepas video itu habis dirakam, Muklas tidak lagi tersenyum malah merenggus di hadapan ibunya sendiri dan berlalu. 

Ketika itulah syot Bu Prani dirakam lebih lama. Bermain dengan lampu cincin yang menjelma pelbagai warna. 

Seolah-olah ingin menyatakan perasaannya yang berbaur juga bagaimana kehidupan boleh bertukar sangat palsu hanya selepas lampu itu dinyalakan. 

Namun, mereka meninggalkan lampu cincin itu di aksi ketiga dan merentas jambatan menandakan sedia berpindah, meninggalkan kehidupan penuh kepalsuan. 

APA MAKNA KEBENARAN? 

Saya suka bagaimana filem ini mengupas apakah maksud sebenar kebenaran. Di era media sosial hari ini, kebenaran diukur kepada siapa yang lebih banyak bersuara, lebih banyak memekik, lebih banyak bising. 

Mereka akan dianggap sebagai juara. Juga bayangkan, orang yang menyelamatkan dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini ialah Pak Dadit yang menghidap bipolar. 

Orang yang paling logik adalah orang yang dianggap gila dalam naskhah ini. Tapi sayangnya, alangkah bagus sekiranya watak Dadit diberi lebih banyak dialog untuk menonjol. 

Saya berharap dapat menuliskan ulasan ini lebih panjang, namun apakan daya ruangan ini terhad. 

Dengan skor muzik Gardika Gigih yang menyiat perasaan saya di hujung naskhah, saya ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat menyudahkan filem sebagus ini. 

Terima kasih mengajarkan kami bahawa dalam dunia yang bising, apa yang kita perlukan hanya berbaring dan mendengar degup jiwa berdenting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×